Al-Quran diturunkan oleh ALLAH SWT  kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibril AS. Ianya bermula daripada surah Al-Fatihah dan diakhiri dengan surah An-Nas.

Ibnu Mas’ud RA berkata Rasulullah SAW  bersabda sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi, “Barang siapa yang membaca satu huruf daripada Al-Quran maka baginya satu kebaikan dengan bacaan tersebut, satu kebaikan akan digandakan 10 kebaikan dan aku tidak mengatakan Alif Lam Mim satu huruf, akan tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (Riwayat Tirmidzi dan disahihkan di dalam kitab Sahih Al Jami’, no: 6469).

Menyedari kepentingan belajar, faham, dan amal al-Quran, Institut Pengajian Al-Quran (IPaQ) dengan kerjasama YaPEIM yang dikendalikan oleh Akademi Pengajian Al-Quran Semporna (APAQS) telah menganjurkan program pendidikan berteraskan Al-Quran kepada masyarakat di Semporna, Sabah, iaitu Program Celik Al-Quran Masyarakat(CQ-Mas).

Faktor pemilihan lokasi adalah berdasarkan kepada keperluan masyarakat yang berbilang kaum, etnik dan agama. Majoriti etnik di daerah ini pula adalah suku Bajau dan Bajau Laut yang berasal dari Selatan, Barat Laut dan Barat Daya Kepulauan Filipina. Hasil pemerhatian yang telah dilakukan oleh YaPEIM, sebahagian penduduk masih dalam keadaan fitrah dan tidak mempunyai pendidikan formal.

IPaQ sebelum ini pernah mengadakan kaedah pembelajaran ABAHATA di Semporna dan berjaya mengkhatamkan 300 orang pelajar. Keberkesanan kaedah ini, YaPEIM berhasrat untuk menyasarkan 2000 orang pelajar Semporna yang buta huruf dapat membaca Al-Quran pada masa akan datang. Berpandukan hasrat murni ini, YaPEIM memberikan sepehuh kepercayaan kepada IPaQ untuk melaksana dan menguruskan pendidikan yang bersifat kerohanian, iaitu Pendidikan Al-Quran.

IPaQ yang sememangnya sudah berpengalaman dalam bidang Pendidikan Al-Quran melalui kaedah ABAHATA, menyambut baik hasrat YaPEIM. Bagi menjayakan hasrat ini, Institut Pengajian Al-Quran (IPaQ) telah merangka dan melaksanakan pelbagai langkah bagi menjayakan program ini.

Antara pelaksanaan yang telah dijalankan oleh IPaQ adalah, mengumpul seramai 74 orang tenaga pengajar yang terdiri dari guru sekolah, Kafa dan juga guru al-Quran yang menetap sekitar daerah Semporna.  Guru-guru yang dipilih ini kemudiannya mengikuti sesi Latihan Tenaga Pengajar (LTP) Kaedah ABAHATA sebagai persediaan sebelum sesi pengajaran. Setelah tamat sesi latihan, mereka ditempatkan di kawasan masing-masing untuk mengajar Al-Quran kepada pelajar seawal usia 7 tahun hingga 12 tahun.

ABAHATA adalah satu kaedah yang sangat menyeronokkan dan sesuai dengan keadaan masyarakat di sana. Kaedah ini mengaplikasikan teknik belajar berirama bagi huruf tunggal hijaiyah  yang mampu menarik pelajar untuk fokus, tidak mudah bosan, dan membolehkan mereka belajar Al-Quran dengan pantas.

Hasil pemantauan yang dilakukan oleh IPaQ baru-baru ini mendapati, walaupun masih belum mencukupi tempoh 30 jam, namun pelajar sudah dapat membaca dan menulis, bahkan sudah mampu menguasai asas tajwid. Pelajar juga dapat menghafal huruf jawi tunggal dan bersambung mengikut rentak bacaan selawat badar yang terkandung dalam Sistem Titian Ingatan.

Sistem ini mampu mempercepatkan proses mengingat sesuatu. Sambutan terhadap Kaedah ABAHATA amat memberangsangkan dan secara tidak langsung dapat memberi semangat kepada guru untuk mengajar.