ILMUWAN Syariah atau kerap juga digelar “Ulama” sememangnya mempunyai peranan amat besar dalam memastikan perkembangan Islam di sesebuah Negara.

Demi memastikan kehadiran, idea dan cadangan penyelesaian mereka dihargai dan dilaksanakan oleh pihak berwajib; para ulama kini berdepan dengan cabaran getir untuk menaiktarafkan ilmu masing-masing agar mampu menanggapi masalah semasa dengan lebih berkesan. Seterusnya dapat memberikan penyelesaian mantap bertepatan dengan Al-Quran dan As-sunnah, agar nampak ‘cantik’ dengan logik akal.

Tidak dinafikan, akal yang waras tidak akan sesekali bertentangan dengan nas (al-Quran dan as-sunnah yang qat’ie). Tetapi kegagalan para ulama dalam memberikan penjelasan akan menampakkan seolah-olah ada hukum yang ditetapkan ALLAH secara putus di dalam Al-Quran bertembung dengan logik akal.

Pelbagai bidang yang perlu difahami dan dilihat oleh seseorang ulama. Salah satu bidang yang amat penting di kalangan masyarakat, tetapi tidak ramai di kalangan ulama, berkemahiran di dalamnya adalah bidang Kewangan dan Perbankan Islam.

Kekurangan ini bukan sahaja dirasai di Malaysia malah juga di seluruh dunia. Nama-nama ilmuwan Syariah yang mahir dalam bidang ini mungkin sukar untuk melepasi jumlah 20 orang di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, tidak semua berani dan berkemampuan untuk memberikan fatwa tepat dalam bidang kewangan moden. Disebabkan sifat instrumen kewangan moden yang sentiasa berkembang dan amat asing dari sebarang bentuk transaksi di dalam kitab-kitab Fiqh silam. Keadaan ini menyebabkan ijtihad-ijtihad kontemporari sangat diperlukan.

Penasihat

Penasihat-penasihat Syariah di Malaysia khasnya, sering kali dilihat begitu ‘gah’ dan hebat. Bagaimanapun, saya suka mengingatkan bahawa banyak nama ‘gah’, ditambah dengan gelaran tertentu seperti Profesor, prof. Madya, Doktor, ustaz, Datuk dan pelbagai lagi tetapi sukar mencari mereka yang mempunyai kemampuan dalam mengeluarkan fatwa yang meyakinkan.

Justeru, saya suka berkongsi pandangan dengan para  penasihat Syariah di industri kewangan Islam dengan beberapa fakta seperti berikut :-

1. Orang awam bergantung sepenuhnya kepada ‘cop’ Bank Islam atau perbankan Islam dan TAKAFUL. Perlu di ingat, cop ini terhasil dari pengesahan ‘Majlis Penasihat Syariah’. Ini menjadikan logo dan nama ‘Islam’ yang terdapat di institusi kewangan itu ibarat satu cop JAKIM bagi dalam industri makanan. Oleh itu, semua penasihat Syariah WAJIB menyedari bahawa mereka bertanggungjawab di hadapan ALLAH akan apa jua transaksi institusi kewangan yang mereka selia agar bertepatan dengan Syariah. Menurut hukum, orang awam tidak berdosa jika terdapat sebarang kesilapan sengaja atau tidak. Bagaimanapun penasihat Syariah mungkin akan menanggungnya di akhirat. Jika mereka benar telah ber’ijtihad’, bekerja dan berfikir serius dalam mengeluarkan fatwa, alhamdulillah, pastinya selamat berdasarkan hadis : “Apabila seorang hakim itu telah bersungguh-sungguh ‘berijtihad’ dan benar ijtihadnya, maka ia beroleh dua pahala, jika silap ia beroleh satu pahala” (Riwayat Muslim, no 3240).

Bagaimanapun jika para penasihat Syariah ini menjalankan tugas sambil lewa, pasti mereka akan dipertanggungjawabkan di hadapan ALLAH kelak serta tidak layak mendapat tawaran dari hadis di atas tadi. Imam Al-Nawawi juga menyebut bahawa telah sepakat (ijma’ seluruh ulama bahawa hadis ini adalah untuk para ilmuwan yang  layak sahaja. Adapun yang tiada kelayakan tidaklah mereka layak untuk mengeluarkan hukum (Syarah Sahih Muslim). Hal ini boleh menjadi semakin serius apabila pihak  institusi kewangan juga akan menggunakan nama penasihat ini bagi meyakinkan pelanggan mereka.

2. Penasihat Syariah perlu lebih penelitian ilmu terutama dalam bidang Fiqh Mu’malat, Usul Fiqh dan Maqasid Syariah. Selain itu pembacaan dan perbincangan dengan para pegawai Bank mesti dilakukan dengan lebih kerap. Ini perlu bagi memastikan mereka mampu memahami proses, konsep dan aplikasi sesebuah transaksi. Hanya dengan kefahaman sedemikian sahaja, pandangan mereka mampu dilaksanakan oleh para pengurusan institusi kewangan dengan baik. Pihak institusi kewangan tidak inginkan pandangan teori semata, ia tidak banyak membantu, mereka perlukan penyelesaian dari sudut jalan keluar bagi menghasilkan produk yang boleh dikomersialkan.

3. Penasihat Syariah perlu menghiaskan diri dengan ilmu-ilmu alat berkaitan kewangan dan perbankan moden. Selain itu, kemampuan bahasa Inggeris juga amat diperlukan. Ia memudahkan penasihat Syariah ini meneliti dokumen-dokumen undang-undang yang kerap kali dimeterai di dalam bahasa ini. Kegagalan mereka, pastinya akan melemah dan melewatkan proses fatwa.

4. Penasihat Syariah perlu di ingat, melaksanakan tugas secara ‘last minute’ tidak akan mampu menghasilkan fatwa yang tepat. Bahkan, ia hanya akan memburukkan nama ‘ilmuwan Syariah’ di kaca mata pelaksana industri kewangan.

5. Penasihat Syariah perlu bersikap proaktif dan ambil kisah dengan sebarang produk dan transaksi yang dilakukan oleh institusi kewangan seliaan mereka. Adakalanya, terdapat beberapa isu langsung tidak diketahui oleh Penasihat Syariah telah dilakukan oleh institusi kewangan seliaan mereka. Saya tahu, penasihat ini pastinya akan mengatakan “Saya tak tahu tentang itu, tidak ada pun dibawa ke perbincangan dengan kami”. Itulah ayat-ayat melepas diri sebagaimana yang di uar-uarkan oleh rakan-rakan saya di seluruh negara. Betapa sedihnya, melihat jawapan sebegini, tugas dijalankan secara longgar.

6. Penasihat Syariah juga perlu berterus terang sekiranya mereka tidak memahami konsep atau produk dengan segera. Kita tidak mahu penasihat yang ‘berlagak faham’ di dalam keadaan tidak faham. Kita tidak sepatutnya boleh meluluskan sesuatu produk hanya dengan anggapan “ada ahli lain yang faham, jadi ikut sahaja “.

Penasihat perlu bertanggungjawab atas setiap anggukan dan tandatangan pengesahan masing-masing tanpa bertenggek di atas anggukan orang lain.

Ilmuwan Syariah yang terpilih perlu mengukur ilmu masing-masing sebelum menerima jawatan yang ditawarkan. Jika tidak, banyak implikasi negatif akan lahir darinya. Kebanyakannya menerima jawatan dengan niat ‘mahu belajar’ dan akhirnya menjadi pakar. Jika demikian niatnya, suatu kesungguhan WAJIB dibuat untuk memperbaiki ilmu dan bukannya ber’main-main’ sambil belajar.