SHAH ALAM - Hukum asal antara anak zina dengan ayah biologinya adalah ajnabi tetapi faktor penyusuan dan persemendaan boleh mengharamkan perkahwinan antara mereka berdua.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohd Al-Bakri berkata, anak-anak lelaki lain yang lahir daripada perkahwinan tersebut juga adalah mahram dengan anak zina itu disebabkan oleh nasab (saudara seibu).

Menurutnya, berdasarkan mazhab Imam Syafie, anak zina tidak sabit nasab kepada bapa biologinya sehingga dia harus berkahwin dengan bapa biologinya walaupun hukumnya makruh.

"Mazhab lain seperti mazhab Abu Hanifah, mengharamkan perkahwinan antara anak zina dan bapa biologinya sekalipun tidak menasabkan anak perempuan itu kepada bapa biologinya. Rujuk Al-Mu`amad fi Al-Fiqh Al-Syafie (4/29) oleh Syeikh Muhammad Al-Zuhaili; Al-Majmu` Syarh Al-Muhadzdzab (16/222).    

"Perlu diketahui bahawa keharusan berkahwin dengan bapa biologi itu hanya berlaku disebabkan ketidaksabitan nasab. Namun demikian, jika terdapat sebab pengharaman nikah daripada sudut penyusuan atau musaharah (persemendaan) maka di sana terdapat pengecualian," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, antara pengecualian berkenaan adalah, jika anak zina itu disusukan oleh seorang wanita sedangkan wanita itu mempunyai suami, maka anak tersebut akan menjadi anak susuan bagi lelaki tersebut kerana faktor Labn al-Fahl (susu jantan). Rujuk Al-Mu`tamad (4/34) dan menurut ulama Syafieyyah, susu wanita itu jika terhasil akibat mengandung dalam perkahwinan yang sah dengan seseorang lelaki, maka susu itu akan mengharamkan bayi-bayi perempuan yang disusukan oleh wanita untuk berkahwin dengan suaminya. Adapun jika susu itu terhasil daripada perkahwinan lain atau zina, maka itu tidak mengharamkan. Rujuk Al-Majmu` (18/222)   

"Jika seorang wanita yang mempunyai anak susuan kemudian wanita berkenaan berkahwin dengan seorang lelaki, maka lelaki itu juga menjadi mahram kepada anak susuan wanita itu apabila dia bersetubuh dengan wanita itu selepas nikah. Ini dinamakan pengharaman secara musaharah dan penyusuan. Anak perempuan itu diistilahkan sebagai al-Rabibah bil al-Rada`. Rujuk Al-Mu`tamad (4/35

"Apatah lagi, sekiranya anak zina yang ibunya yang tsabit nasabnya dengan anak itu secara wiladah (kelahiran) lalu dia berkahwin dengan seorang lelaki, maka lelaki itu adalah ayah tirinya apabila dia sudah bersetubuh dengan ibunya dalam pernikahan yang sah. Ini dinamakan pengharaman secara musaharah (persemendaaan). Rujuk al-Mu`tamad (4/32)," katanya.