UNDANG-UNDANG syariah melihat golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebagai jenayah syariah yang perlu dirawat dengan kaedah yang ditetapkan.

Pendakwah, Dr Mohammad Amir Wan Harun dari Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, daripada sudut kemanusian, agama melihat golongan LGBT sebagai manusia biasa lain yang memiliki hak yang perlu dijaga dalam lima daruriyat iaitu menjaga nyawa, agama, akal, harta dan maruah.

Katanya, individu yang melakukan liwat atau yang seumpamanya tertakluk kepada rawatan yang sama dikenakan terhadap mereka yang melakukan zina (dalam pandangan yang paling ringan).

"Manakala transgender dan lain-lain yang telah mengubah jantina mereka, agama melihat ia sebagai perbuatan yang bertentangan dengan prinsip agama.

"Perkara ini dinyatakan dalam hadis yang bermaksud: "Rasulullah SAW melaknat (mendoakan agar jauh dari kebaikan) terhadap lelaki yang menyerupai perempuan, dan perempuan yang menyerupai lelaki"," katanya kepada Sinar Harian.

Dunia mempunyai hak asasi

Beliau mengakui bahawa dalam diri setiap manusia ada hak asasi yang perlu dijaga. Namun perlu juga diteliti adakah hak tersebut akan turut memberi kesan kepada hak yang lain atau tidak?

Soalnya, andaikan kita bersetuju bahawa manusia mempunyai hak untuk mendapatkan kasih sayang daripada sesiapa yang disukainya termasuk daripada pasangan sejenis, kerana rasa kasih wujud secara semula jadi dalam setiap manusia, namun perlu diingat bahawa pihak lain juga mempunyai hak asasi yang perlu dipelihara dan dipertahankan.

"Dunia ini mempunyai hak asasinya untuk mempunyai keseimbangan pasangan lelaki dan wanita. Bagaimana dunia ini akan berkembang seimbang sekiranya penghuninya adalah pasangan sama jenis?

"Agama juga mempunyai hak asasi yang perlu dipertahankan, yang mana agama tidak sekali-kali mengiktiraf LGBT sebagai sesuatu yang baik dilakukan oleh manusia.  

"Individu lain atau masyarakat umum juga mempunyai hak untuk hidup dalam persekitaran yang bebas daripada pandangan yang tidak sihat ini," katanya.

Ujian kepada manusia

Beliau berkata, seandainya golongan LGBT ini diterima sebagai hak asasi manusia, namun hak tersebut tidak boleh diiktiraf sama sekali kerana ia telah mencabuli banyak hak asasi yang lain. Hal ini sama seperti makanan adalah hak asasi, itu tidak bermakna seseorang boleh mencuri makanan orang lain kerana ia merupakan pencabulan terhadap hak asasi pihak lain untuk memuaskan hak asasi sendiri.

Menurutnya, Tuhan memberikan akal fikiran agar manusia menjadi istimewa berbanding haiwan. Dan ia juga merupakan ujian kepada sebahagian manusia yang mempunyai kecenderungan homoseksual sama ada dia bersabar atau memuaskan nafsunya seperti haiwan. Jika dia memilih untuk bersabar, maka berbahagialah.

"Renung kata hikmah: "Siapa yang jatuh cinta, lalu dia menyembunyikan perasaannya dan menjaga maruahnya. Lalu dia mati, maka dia mati syahid," katanya.