MEMINTA-MINTA hukum asalnya adalah dilarang. Terdapat banyak dalil yang menunjukkan larangan, antaranya,  daripada ibnu Umar RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Tabiat suka meminta-minta menjadi kebiasaan seseorang daripada kamu (umat) sehingga ia menemui ALLAH di akhirat sedangkan mukanya tidak mempunyai daging (hina).”(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Namun, tidak semua permohonan dan meminta bantuan itu tidak dibolehkan. Berdasarkan alasan kukuh, tanggungan dan kesusahan yang tidak tertampung lagi, membolehkan seseorang itu tampil membuat permohonan.

Walau bagaimanapun tak ramai mahu tampil ke hadapan. Mereka yang kurang berkemampuan namun berjiwa tinggi ini sentiasa beranggapan tidak layak menerima bantuan sedangkan mereka layak.

Namun orang sekeliling khususnya Lembaga Zakat Selangor sentiasa peka dengan kesusahan sebenar mereka.

Justeru, Lembaga Zakat Selangor ( LZS) dengan kerjasama Muslim Volunteer Malaysia (MVM), turun padang bersama beberapa agensi lain, mendekati dan menyantuni golongan asnaf di Pangsapuri PPR, seksyen 8, Kota Damansara baru-baru ini.

Ketua Operasi Agihan Daerah Petaling, Lembaga Zakat Selangor, Mohd Nur Fadhli Yohman berkata, menerusi program ‘Skuad Jejak Kemiskinan yang dianjurkan, LZS dapat bertemu dan menjejaki mereka dari pintu ke pintu.

“Selain menerima asnaf di peringkat kaunter, kami juga turun padang bertemu dengan golongan sasar ini secara dekat.

“Walau bagaimanapun misi ini bukanlah semata-mata untuk mencari mereka yang disahkan layak tersenarai sebagai asnaf fakir miskin. Tetapi objektif utama kami adalah untuk mengenal pasti sasaran yang layak menerima bantuan-bantuan zakat lainnya. Misalnya bantuan pendidikan, perubatan, sewa rumah, hari raya, dan juga mereka yang terbeban dengan hutang.

“Merujuk kepada senarai nama yang diserahkan oleh amil kepada kami, lebih kurang 100 buah rumah akan kami kunjungi. Tiada sebarang serahan bantuan dilakukan, tetapi lebih kepada semakan dan pengesahan kelayakan sahaja. Seterusnya kami akan buat pertimbangan dan jenis-jenis bantuan yang wajar untuk mereka,”terang beliau.

Dalam pada itu, Mohd Nur Fadhli berkata, kerjasama semua pihak amat diperlukan dalam membantu usaha LZS menjejaki golongan asnaf dan fakir miskin sekitar Selangor.

Beliau berkata, LZS sentiasa komited dalam mengagihkan pungutan zakat yang diterima, namun ada di kalangan asnaf yang tidak dapat dikesan serta tidak membuat permohonan.

Justeru, penglibatan penolong amil kariah bersama LZS kali ini sangat penting buat kami.

“Memandangkan mereka sentiasa berada di hadapan masyarakat tersebut. Bahkah lebih mengenali penduduk setempat berbanding kami.

"Sebab tu, apabila projek ini diperkenalkan, dengan mudah kami menerima 100 nama yang berpotensi daripada penolong amil.

"Selain penglibatan NGO seperti MVM, jawatan kuasa penduduk PPR Kota Damansara, masyarakat setempat, sekolah KAFA dan Jawatan kuasa masjid, turut memainkan peranan besar dalam misi kali ini. Tanpa mereka, kami tidak boleh berdiri sendiri,”katanya.

Salurkan Sukarelawan

Sementara itu, Pengasas & Juga Presiden, Muslim Volunteer Malaysia (MVM), Muhammad bin Jantan yang ditemui berkata, ini merupakan tahun pertama, MVM turun padang bersama LZS bertemu asnaf.

Katanya lagi, zakat sentiasa terbuka untuk jalinkan kerjasama dengan NGO sedia ada. Malah, zakat juga sangat memerlukan sukarelawan dan kerjasama daripada semua pihak.

“Insya-ALLAH MVM akan terus menyokong dengan menyalurkan sukarelawan untuk membantu mereka. Kerjasama ini, bukan sahaja dapat melahirkan semangat kekitaan dan kebersamaan. Bahkan peluang untuk kami bertukar pandangan dan pengalaman dalam kerja-kerja kebajikan.

“Saya tertarik dengan kata-kata, kita bantu bukan atas dasar kesian, tetapi atas dasar layak dan perlu buat. Duit zakat yang diamanahkan perlu dijaga baik, serta diagihkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan,”katanya.