MASYARAKAT Islam di negara ini masih kurang didedahkan dengan ilmu perancangan harta pusaka. Tidak kurang juga ramai yang beranggapan bahawa perancangan harta kurang penting kerana nanti ianya akan diselesaikan melalui kaedah faraid.

Islam menyediakan instrumen perancangan dan pembahagian harta seperti wakaf, sedekah, wasiat dan hibah. Namun apabila wujud salah faham berkaitan konsep perancangan dan pembahagian harta tersebut contohnya seperti hibah akan membawa pelbagai implikasi.

Untuk itu, mari kita fahami DUA konsep penting dalam hibah.

1) Hibah adalah pemberian semasa hidup

Hibah adalah satu perbuatan memberi harta miliknya kepada orang lain semasa hayatnya tanpa balasan. Walaupun nampak ringkas maksud tersebut, namun dari segi pelaksanaan masih ramai yang tidak memahaminya dan hibah menjadi tidak sempurna.

Untuk menjadikan hibah tersebut sempurna ia perlu kepada syarat dan rukun hibah. Kebanyakan masyarakat salah faham berkenaan konsep hibah itu sendiri. Sebagai contoh, seorang ayah menyatakan hasratnya kepada anak-anak bahawa harta-harta miliknya dihibahkan kepada semua anak-anak tetapi selepas ayah mati nanti.

Ungkapan ini menyatakan perkataan ‘hibah’ tetapi menyandarkan pemberian tersebut dengan kematian pemberi hibah (ayah). Oleh itu, hibah dengan menetapkan syarat bahawa kuatkuasa hibah hanya berlaku selepas kematian penghibah adalah tidak sah. Ia dianggap sebagai wasiat dan tertakluk kepada hukum-hakam wasiat.

Kuatkuasa hibah selepas kematian yang dimaksudkan di sini ialah qabd iaitu pindah milikan harta yang dihibahkan kepada penerima hibah yang dilakukan selepas kematian penghibah. Namun, jika kuatkuasa yang dimaksudkan itu ialah semata-mata tukar milik harta dari sudut perundangan, misalnya pertukaran nama pemilik tanah di geran tanah, maka hal ini tidak semestinya dikatakan syarat kuatkuasa hibah selepas kematian itu menjadikan hibah tidak sah sekiranya qabd telah disempurnakan semasa hayat penghibah. Dalam keadaan ini, hibah telah sah dari segi syarak dan hukum syarak telah mengiktiraf pemilikan harta tersebut kepada penerima hibah. Cuma pertukaran nama dalam geran sahaja yang belum dilakukan.

Walau bagaimanapun, bagi harta-harta lain seperti wang simpanan dalam akaun bank, saham dan seumpamanya, keperluan elemen qabd hanya dipenuhi apabila berlakunya pindah milik sama ada dengan pemindahan daripada akaun penghibah kepada penerima hibah, mahupun pengeluaran tunai secara fizikal dan kemudiannya diberikan kepada penerima. Jika prosedur seperti ini tidak dilakukan, syarat qabd belum dipenuhi. Namun, ia tidaklah menjadikan hibah itu tidak sah dari segi penyempurnaan syarat-syarat akadnya, cuma hibah itu tergantung (mawquf) sehinggalah pindah milik itu berlaku.

Dalam kes pengesahan hibah Siti Aishah @ Kalsom binti Dahalan Kes Mal No: 14200-044-0058 Tahun 2008, di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pemohon telah mengemukakan permohonan pengesahan hibah (antaranya) berupa harta alih iaitu wang              simpanan beberapa akaun, wang dalam Tabung Haji dan saham yang dibuat melalui Surat Ikatan Amanah. Mahkamah dalam menolak permohonan tersebut antara lain dalam penghujahan bahawa, “.... harta ini dianggap sebagai harta hibah jika wang tersebut dipindah milikkan daripada akaun penghibah kepada penerima hibah. Jika tidak, wang tersebut masih lagi dimiliki oleh penghibah dan beliau bebas untuk menggunakan wang tersebut.”

Apabila penghibah tidak melaksanakan prosedur qabd seperti dalam kes di atas seolah-olah dia berniat untuk menghibahkan harta itu hanya selepas kematiannya. Hibah seperti ini adalah hibah dengan menyandarkan kepada kematian penghibah yang menyerupai wasiat dan tertakluk kepada hukum wasiat.

2) Hibah bukan ‘modal’ untuk elak faraid

Jangan kita salah anggap hikmah hibah kerana ia menghimpunkan pelbagai kelebihan dan kebaikan kepada pemilik harta untuk bertasarruf ke atas hartanya pada masa hidup. Jika kita  menganggap hibah adalah ‘modal’ untuk elak daripada faraid, maka sedekah, waqaf dan wasiat malah pindah milik atau jual beli juga melarikan diri dari faraid kerana pelaksanaannya akan mengurangkan atau menghabiskan terus harta pusaka sehingga tiada baki boleh diagih kepada waris. Jika begitu andaiannya, maka Sulaiman Al Rajhi, Pengasas Al-Rajhi Bank adalah orang yang paling rugi dalam dunia kerana dia langsung tiada harta kerana kesemuanya telah diwaqafkan sedangkan dia masih hidup.

Persepsi bahawa hibah adalah jalan keluar untuk mengelakkan faraid tidak boleh terus dibiarkan kerana ia sangat berbahaya kepada umat Islam. Kononnya takut waris yang ‘tak sepatutnya’ akan mewarisi harta. Tebal sungguh kecintaan sesetengah orang terhadap harta dunia. Hinggakan selepas mati pun, masih bimbang dan risau tentang harta.

Matlamat sebenar kita menghibahkan harta adalah untuk menzahirkan rasa kasih sayang dan penghargaan kita kepada ahli keluarga yang tercinta dengan cara menghibahkan (menghadiahkan) harta kita kepada orang yang kita sayangi seperti isteri, ibu dan anak-anak. Ia juga sebagai tanda syukur kita ke atas rezeki yang telah dikurniakan oleh ALLAH kepada kita. Hal ini kerana, supaya kita tidak menjadi orang yang tamak dengan harta dan terlalu memikirkan harta dunia.

Persoalannya, kenapa masyarakat seperti takut dan gerun bila disebut faraid. Bila sebut faraid sahaja dalam hati terus berkata, kalau boleh aku nak elakkan harta aku daripada difaraidkan. Adakah faraid itu tidak adil dan hibah itu sebaliknya lebih adil?

Pembahagian harta secara faraid dinyatakan dengan panjang lebar dalam Al-Quran. Kalaulah ianya suatu perkara yang menyebabkan ketidakadilan kepada umat Islam, masakan ianya dinyatakan oleh ALLAH SWT dengan begitu lengkap dan terperinci sekali.  

Namun demikian, berapa ramai dalam kalangan kita yang mendalami tentang ilmu faraid? Berapa ramai daripada kita yang betul-betul faham tentang hikmah dan konsep pembahagian harta pusaka mengikut faraid? Maka oleh itu, jika kita sendiri pun tidak faham tentang hikmah sebenar pelaksanaan hukum faraid itu sendiri, kenapa kita seolah-olah terus berpersepsi yang faraid itu adalah pembahagian yang tidak adil?

Mungkin kita sering dimomokkan dengan tindakan sebahagian masyarakat yang tamak haloba di luar sana yang sanggup putus saudara kerana membolot harta pusaka si mati. Lantas kita sendiri menjadi gerun dan takut dengan faraid. Padahal, sikap membolot harta itu adalah dengan memakan harta sebahagian orang lain secara haram. Dengan kata lain, mengambil hak orang lain yang tidak sepatutnya.

Apabila sebahagian umat Islam berada dalam keadaan jahil dan tidak memahami tentang hikmah dan hukum sebenar faraid. Maka mereka hanya melihat harta pusaka daripada sudut hak tanpa melihat kepada tanggungjawab yang perlu ada di sebalik hak tersebut. Sebab dalam Islam, sesuatu hak yang diberikan itu pasti disertakan dengan tanggungjawab. Sebab hak dan tanggungjawab itu akan disoal di akhirat kelak.