MENCIPTA  kelainan, Hassan Adli Boutique anjur trip ‘Duri-duri durian,’ Raub Pahang, bersama beberapa tokoh agama, pereka fesyen, blogger, dan pendidik.

Peserta program bukan sahaja berpeluang menikmati keenakan durian dalam suasana dusun, bahkan pelbagai pengisian dan aktiviti menanti peserta.

Program julung kali yang diadakan ini disambut baik pemilik Dusun Hoho Durian,  Michael. Selain dibawa meninjau dusun seluas 22 ekar, para peserta turut diberikan penerangan berkenaan keunikan dan fakta menarik tentang durian.

Menurut, Pengarah Urusan Hassan Adli Boutique, Jarir Jafni Haron, daripada 700 jenis pokok yang di tanam, sebahagiannya tidak pernah didengar.

“Setiap durian mempunyai rasa dan keunikan yang tersendiri. Semuanya enak belaka hinggakan kami sukar untuk menentukan mana paling enak. Durian kampung berwarna kuning keemasan, kemudian diberikan pula durian 101, udang merah, D24, ‘The Special One’ dan seterusnya Musang King,”ujar Jarir.

Pada masa sama, program makan durian turut diisi dengan tazkirah ringkas, kisah durian oleh Imam Muda Hassan.   

“Jika dilihat dari mata kasar, durian tidak lebih daripada sekadar durian. Namun jika dilihat dengan mata hati, setiap penciptaan ALLAH itu akan ada keunikannya tersendiri.

“Durian itu sendiri kejadiannya unik. Buahnya berduri tidak seperti buah-buah yang lain. Buahnya kelihatan sama, namun isinya berbeza-beza. Simboliknya buah durian itu seperti dunia. Kulitnya yang tajam itu diumpamakan seperti perjalanan hidup manusia di atas muka bumi ini. Namun di sebalik tajam duri di kulitnya, tersimpan isi yang enak di dalamnya.

“Ada yang terluka ketika berusaha membuka kulit durian, ada juga yang mengambil masa lama untuk membukanya. Namun pada akhirnya, nikmat durian itu sukar digambarkan pada saat merasai keenakannya,”jelas Hassan.

Tambah beliau, perjalanan hidup manusia juga penuh dengan duri dan ranjau sebelum menuju ke destinasi akhirat. Dunia ini umpama kulitnya, isi enaknya bagaikan syurga.

Sungguhpun demikian, tidak semua durian menjanjikan isi yang enak. Ada juga yang keras, busuk dan tidak sempurna. Semuanya tersembunyi di sebalik rupa.

“Itu adalah simbolik bagi kehidupan. Ada manusia yang merasakan dia telah beramal dan berbuat kebajikan semasa hidup di dunia. Namun pada akhirnya terkejut di akhirat sana apabila menyaksikan segala kebaikan tidak ada, malahan digantikan pula dengan keburukan. Ia terjadi apabila amalan yang dibuat, dirosakkan dengan sifat-sifat mazmumah seperti mengumpat, mengeji, menganiaya orang lain dan sebagainya,”katanya.