AL-QURAN merangsang umatnya supaya banyak mencari ilmu, berfikir serta mengkaji. Ayat-ayat pertamanya dalam Surah al-‘Alaq juga merangsang ke arah itu.

Dalam Surah al-Alaq ayat 1-5 Allah berfirman, “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia mencipta manusia daripada segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmu Maha Pemurah. Dia mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Imam Ibn Kathir berkata, dalam Tafsir al-Quran al-Azim, “Antara kurniaan ALLAH adalah, mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya lalu Dia memuliakan dan mengangkat darjatnya dengan ilmu dan itulah yang dimiliki oleh bapa manusia, iaitu Adam, berbanding para Malaikat.”

Ayat-ayat ini mempunyai pengaruh yang besar kepada bangsa Arab ketika itu. Ia merangsang mereka untuk menguasai ilmu. Sebab itu ayat-ayat ini mengaitkan ALLAH dengan penciptaan, secara tidak langsung ia merangsang mereka untuk mengkaji serta menganalisis alam.

Perubahan yang berlaku ke atas umat sebelum ini begitu menakjubkan sehinggakan Lothrop Stoddard dalam The New World of Islam menukilkan ketakjuban ini, “Kebangkitan Islam merupakan satu episod yang paling mengagumkan dalam sejarah manusia. Ia lahir di bumi yang tidak terkenal kemudian dalam jangka masa hanya satu abad ia berkembang sehingga menguasai separuh alam.

Dalam proses itu ia meruntuhkan empayar-empayar besar dan serentak dengan itu membentuk hati-hati manusia sehingga akhirnya berjaya menegakkan dunia baru iaitu dunia Islam.”

Islam tidak hanya mengubah bangsa Arab. Golongan yang datang kemudian, contohnya bangsa Melayu, juga diubahnya. Mengikut sejarah, bangsa Melayu telah hidup berkerajaan di Langkasuka, Kedah Tua, Kalimantan Timur, Sriwijaya dan Majapahit.

Apabila Islam datang ke Alam Melayu, tamadun masyarakat Melayu berubah, dengan itu lahirlah pula kerajaan Melayu-Islam seperti Kerajaan Islam Pasai di Acheh, Empayar Melayu-Melaka, Kerajaan Islam di Brunei, Pattani, Johor-Riau, Mindanao dan banyak lagi.

Pemangkin Sains Moden

Islam merangsang umat Islam untuk mengkaji, sepertimana yang dinyatakan dalam Surah al-Ghasyiah ayat 17-20.

Ketika membincangkan ayat-ayat ini, Hamka berkata dalam Tafsir al-Azhar, “Disuruhnya kita melihat dan merenung. Bukan sekadar melihat dengan mata, tetapi membawa apa yang dilihat itu ke dalam alam fikiran untuk difikirkan”.

Metodologi sains yang diperkenalkan umat Islam mendahului zaman. Dr. Robert Briffault dalam bukunya The Making of Humanity dalam bab Dar Al-Hikmet berkata, “Roger Bacon bukanlah tokoh yang memperkenalkan konsep eksperimen dalam ilmu.

Beliau merupakan anak murid kepada sains dan metodologi Islam. Ilmu yang diperoleh ini kemudiannya dikembangkan ke Barat. Beliau tidak pernah jemu untuk mengatakan bahawa bahasa Arab dan sains Arab adalah satu-satunya pintu bagi mereka di zamannya untuk mengenali ilmu yang hakiki. Sumbangan dari tamadun Arab kepada dunia moden yang paling bermakna ialah sains.”

Seterusnya, dalam bab Rebirth of Europe dalam buku The Making of Humanity, Robert Briffault berkata, “Orang-orang Arab memperkenalkan tiga ciptaan untuk Eropah. Setiap ciptaan ini kemudiannya melahirkan revolusi teknologi yang tersendiri di peringkat global.

Pertama ialah kompas, kedua ialah ubat bedil, dan yang ketiga ialah kertas. Ia membuka jalan kepada ciptaan alat-alat penerbitan yang canggih.

Kesan daripada pengaruh saintis-saintis Muslim, pada abad ke-17 Masihi lahirlah saintis-saintis agung di Barat seperti Galileo, William Harvey, Isaac Newton dan Robert Boyle. Mereka melahirkan metodologi sains yang dianggap baru di barat dan dengan itu meledaklah ilmu sains di barat walaupun di peringkat awalnya ia terpaksa bertembung dengan golongan Gereja. Selepas itu Barat tidak pernah menoleh ke belakang lagi. Ia terus mengembangkan kemodenan ini dengan mencipta idea-idea dan ciptaan-ciptaan baru hinggalah ke hari ini.

Benarlah Carleton S. (Carly) Fiorina  (mantan CEO Hewlett-Packard Company), yang dalam ucapan yang bertajuk Technology, Business And Our Way Of Life: What's Next pada 26 September 2001, telah berkata, “Pada suatu ketika dahulu, wujud satu tamadun yang terbesar di dunia. Empayarnya begitu luas, bersambung-sambung dari lautan ke lautan, menjangkau kawasan utara, tropika dan padang pasir.  Tamadun yang saya maksudkan ini sebenarnya ialah tamadun Islam, yang berkembang dari tahun 800-1600 Masihi.

Walaupun kita sering kali tidak menyedari betapa terhutang budinya kita kepada tamadun ini, namun hasil yang dicurahkannya telah menjadi sebahagian daripada warisan kita. Industri teknologi tidak akan wujud pada hari ini tanpa sumbangan daripada tokoh-tokoh matematik Arab.”

Kesimpulannya, barat malah dunia terhutang budi kepada Islam dan umatnya. Benarlah sebagaimana yang dinyatakan oleh Putera Charles, “Begitu banyak salah faham terhadap Islam yang berlaku di kalangan orang barat. Malah golongan barat juga tidak menyedari tentang betapa mereka sebenarnya terhutang budi kepada dunia Islam.” Kenyataan ini beliau ucapkan di Oxford Centre for Islamic Studies pada 27 Oktober 1993, di bawah tajuk Islam and the West.