GAJET mempunyai banyak manfaat dan mudaratnya jika tidak dikawal baik. Pada zaman serba moden ini, ibu ayah hari ini perlu memandang gajet itu umpama sebilah pisau. Di mana pisau juga mempunyai manfaat dan juga mudaratnya yang tersendiri.

Menurut Ustazah Isfadiah Dasuki, manfaat dan mudarat ini bergantung kepada dua faktor, iaitu matlamat penggunaan dan peraturan penggunaan.

“Matlamat penggunaan pisau sangat jelas dan mudah. Contohnya ia digunakan untuk membantu urusan di dapur. Jika alat itu digunakan selain mengikut matlamatnya yang betul, ia harus dihalang atau dihentikan serta merta.

“Begitu jugalah dengan gajet dan telefon pintar. Tujuan kegunaannya harus punyai matlamat yang jelas agar tidak tersasar daripada tujuan sebenar.

“Jika ia digunakan untuk mendapatkan maklumat tentang sesuatu perkara. Seterusnya membantu proses memahami isu dan menghasilkan semula maklumat-maklumat baik yang boleh digunapakai oleh orang lain, seperti membayar bil dan sebagainya, maka ia merupakan satu manfaat,”terang beliau.

Mengulas lanjut, penulis buku BIJAK PARENTING, terbitan Karya Bestari ini berkata, jika matlamat dan tujuan adalah sebaliknya seperti untuk bergaya, jadi stalker atau pengintip maya, main game online dan seumpamanya, maka gajet tersebut secara terang tidak bermanfaat buat kita.

“Matlamat penggunaan gajet yang baik akan menyerlahkan manfaat gajet pada diri kita malah juga pada seluruh dunia. Gagal mengendalikan matlamat yang baik bermakna kita sedang menyeru kemudaratannya,”katanya.

Menurut beliau lagi, penggunaan gajet juga perlu mengambil kira beberapa kaedah dan garis panduan yang ditetapkan. Antaranya, tempoh Penggunaan gajet, etika bersosial di alam maya, kandungan dan maklumat yang bermanfaat, dan etika mengakses internet.

Tempoh Penggunaan Gajet

Menyentuh tentang tempoh penggunaannya, Isfadiah berkata, ia melibatkan dua perkara iaitu usia dan masa. Dua jam sehari bagi anak-anak berumur 6 -18 tahun ke bawah, dan anak yang berumur 3-5 tahun adalah satu jam sehari.

“Presiden Pertubuhan Pembangunan Penduduk Malaysia, Prof. Dr. Fatimah Daud menegaskan, ibu bapa seharusnya memainkan peranan mereka dalam memantau dan mengawal selia penggunaan gajet di dalam rumah.

“Hal ini kerana penggunaan gajet di rumah secara berleluasa tanpa peraturan masa pada setiap hari akan menyebabkan ketagihan terhadap anak-anak. Di mana ia akan memberi kesan terhadap pembesaran dan gaya hidup mereka kelak.”katanya.

Etika Sosial di Alam Maya

Tambah beliau lagi, ibu bapa perlu persiapkan anak dengan etika sosial sebelum mereka mula terdedah dengan penggunaan media sosial.

“Hubungan sesama manusia bergantung kepada adab dan akhlak kita terhadap mereka, dan hubungan sesama manusia akan berjalan lancar apabila kita turut memandang serius hubungan kita dengan ALLAH SWT.

“Hakikatnya, hubungan kita dengan manusia walaupun di alam maya adalah merupakan salah satu bentuk ibadah. Sebagaimana kita memperlakukan sahabat kita begitulah juga ALLAH melayani kita,”terang beliau.

Kandungan Internet Yang Bermanfaat

Isfadiah turut menjelaskan, ibu bapa perlu bersedia untuk memantau dan menjelaskan tentang aktiviti yang boleh dilayari seperti aktiviti berunsur pengetahuan, kreativiti, maklumat am, pembinaan IQ, latih tubi akademik, laman agama yang sihat dan sebagainya.

Bahkan, Ibu bapa perlu juga menyenaraikan laman bermanfaat yang boleh dicadangkan kepada anak-anak.

“Ibu bapa juga perlu memberi tugasan kepada anak-anak berkaitan dengan aktiviti mereka di alam maya. Ia bertujuan untuk memudahkan pemantauan di samping membantu mereka mengisi waktu mereka di internet dengan aktiviti terancang dan berfaedah. Selain itu, ibu bapa juga boleh menggunakan khidmat penapis maklumat sekiranya dirasakan perlu,”katanya.

Menurutnya, sangat mustahak bagi ibu bapa untuk menetapkan peraturan berinternet buat anak-anak sama ada di rumah atau di luar rumah. Selain mempunyai ikrar terhadap penggunaan internet,  membantu ibu bapa dalam pengurusan anak-anak.

Bincangkan bersama:

1)Penggunaan internet mestilah di ruang atau di kawasan terbuka supaya anak-anak tidak berpeluang menyalahgunakannya. Peraturan ini mewujudkan suasana jujur dan telus dalam urusan diri mereka dan internet.

2)Biasakan budaya meminta izin terlebih dahulu sebelum menggunakan internet. Ini untuk membentuk akhlak yang murni, sedangkan Islam juga mengajar untuk minta izin terlebih dahulu sebelum memasuki bilik kedua orang tuanya. Inikan pula untuk memasuki ruang yang memungkinkannya menjenguk dunia dan berinteraksi dengannya.

3)Tidak menceroboh akaun dan maklumat peribadi orang lain walaupun keluarga sendiri tanpa izin. Apa yang telah dibiasakan di rumah akan berkembang menjadi sikapnya nanti. Jika anak-anak sudah biasa menghormati hak peribadi keluarga dia akan turut belajar menghormati hak peribadi rakannya dan orang lain.

4)Membiasakan mereka dengan etika kerahsiaan yang meliputi maklumat peribadi, data seperti nama penuh, alamat rumah, no telefon, no kad pengenalan, kata laluan, maklumat bank dan sebagainya.

5)Menjaga aurat diri dan keluarga pada gambar-gambar yang digunakan atau dikongsikan melalui internet khasnya di media sosial.

6)Tidak melayari laman yang kurang sopan atau memuat turun gambar atau rencana darinya

7)Melayan hanya orang-orang yang dikenali dan tidak membuat temujanji tanpa pengetahuan ibu bapa.

Amalan terbaik yang boleh diaplikasikan:

1.Gajet sebaiknya diberikan pada anak-anak apabila mereka mencapai umur 13 tahun ke atas.

2.Sekiranya perlu untuk kanak-kanak berumur 3-5 tahun, penggunaan gajet adalah terhad kepada 1 jam sehari sahaja.

3.Bagi anak-anak berumur 6-18 tahun had penggunaan adalah selama 2 jam sehari.

4.Elakkan sama sekali memberi gajet kepada anak-anak berumur 2 tahun ke bawah.

5.Tempoh 1 jam atau 2 jam boleh dipecahkan kepada 20 minit sekali penggunaan dan diselangi dengan aktiviti lain.

Etika sosial yang disarankan, adaptasi dari Imam Al-Ghazali Ihya Ulumuddin bab jiran tetangga dan adab berkasih-kasihan.

1.Sentiasa memulakan dengan salam dan kata-kata yang baik.

2.Hadkan masa borak atau chatting supaya tidak mengganggu urusan teman sosial dan membuang masa sendiri.

3.Tidak bertanya secara berlebihan tentang hal peribadinya dan manfaatkan PM (Mesej Peribadi) untuk perkara dan hal peribadi.

4.Raikan keseronokannya dengan doa dan ucapan taniah.

5.Maafkan kelemahan dan kesalahannya.

6.Menggunakan kata-kata yang baik dan membina di ruangan komen.

7.Tidak mencari keaiban mereka.

8.Bantu menutup keaiban mereka.

9.Menjaga maruah dan kemuliaan diri dengan tidak membuka aib diri dan keluarga atau berkongsi gambar-gambar yang tidak sesuai.

10.Menjaga mata dan hati (menudukkan pandangan)

11. Merasakan pengawasan CCTV dan rakaman kamera ALLAH.

 

 

SUMBER: BUKU BIJAK PARENTING