BERKONSEPKAN ‘home tahfiz’ atau ‘pembelajaran tahfiz di rumah’, Pusat Tahfiz Darul Siddir ciptakan kelainan berbanding pusat tahfiz sedia ada.

Selain memberikan penumpuan dalam pengajian hafalan al-Quran serta hadis sepenuh masa, pelajar juga diasah untuk menghafal dengan daya visual dan daya “photographic memory” supaya hafalan lebih mantap dan kekal lama.

Menyingkap sejarah penubuhan Darul Siddir, Pengetuanya, Dr Kamilin Jamilin  berkata, Home Tahfiz Darul Siddir (DS) sebenarnya telah beroperasi sejak dua tahun lalu. Bermula di Cyberjaya dan kemudiannya berpindah ke Shah Alam.

“DS tercetus dengan kesungguhan seorang usahawan, Zulhisham Ayob dan isterinya  Haneda Omar untuk mencipta saham akhirat melalui anak-anak kecil yang dipandu ke arah ilmu yang berteraskan Quran dan sunnah. Namun dalam melahirkan cendekiawan atau ulama masa hadapan yang cemerlang, sudah pasti menghafal Quran dan hadis merupakan asas yang perlu dilalui oleh seorang penuntut ilmu sebagaimana para ulama terdahulu.

“Jika lihat pada zaman ilmuwan Islam terdahulu, seawal usia tujuh tahun mereka telah menghafal Quran. Usia muda mereka dipenuhi dengan menghafal kalam Rasul SAW, dan teras-teras (matan) ilmu lain.

“Maka lahirlah idea menubuhkan sebuah pusat yang boleh diselia kawal dengan baik, iaitu yang berkonsepkan home tahfiz. Kami memulakan operasi dengan menyewa sebuah rumah yang diurus seperti rumah sendiri. Kemudiannya menerima pelajar di kalangan anak-anak sahabat dan kenalan. Apabila pelajar semakin bertambah, kami berpindah dan menyewa dua buah rumah banglo di Shah Alam,”jelas beliau panjang lebar.

 Main peranan

Pada peringkat awal, DS dibantu oleh ustaz Johari Abdul Wahab, kemudian diambil alih beliau sebagai pengetua dengan dibantu oleh “team” yang begitu hebat seperti Razak sebagai pengurus, Tok Ma sebagai ketua chef, ustaz Wan, ustaz Husein, ustaz Zaim, ustazah Syifa dan ustazah Humaidah. Juga ibu bapa yang ke semuanya memainkan peranan terbaik dalam membina DS dan mendidik anak-anak DS.

“Setakat ini, pusat ini mempunyai 10 pelajar lelaki dan 7 perempuan. Selain beberapa pelajar telah keluar menyambung pengajian akademik atau mengambil sijil pelajaran rasmi, atau mengikut perancangan keluarga.

“Setiap ustaz menyelia lima pelajar. Setakat untuk 17 pelajar, tenaga pengajar yang dilantik sepenuh masa bersama pelajar ialah empat orang, iaitu dua ustaz dan dua ustazah. Kami percaya seorang guru tidak mampu menumpukan sepenuh perhatiannya terhadap pelajar yang ramai. Justeru untuk lebih efektif kami mengecilkan kuantiti pelajar yang diselia seorang guru supaya kualitinya lebih baik.

“Saya pula memantau prestasi pelajar dan aktiviti pelajar. Pelbagai program dan aktiviti dirangka untuk menambah motivasi pelajar dan menceriakan suasana pengajian. Saya percaya kejayaan dalam sesuatu perkara yang kita lakukan perlu dilakukan dengan hati dan minat yang membara. Tanpanya pelajar tidak akan “survive” dengan persekitaran yang begitu mencabar zaman kini,”katanya.

Walau bagaimanapun, pendidikan bukan hanya dari guru, ibu bapa juga turut dilibatkan, kerana percaya motivasi dan pendidikan terbaik anak-anak adalah bermula dari ibu bapa.

Teknik hafalan

Kamilin turut menjelaskan, proses menghafal yang diasah dengan daya visual dan ‘photographic memory’ merupakan rahsia utama pelajar dapat menghafaz dengan baik.

“Saya mendapati hampir semua pelajar-pelajar tahfiz dari serata tempat di Malaysia yang lupa hafalan yang dihafal selama bertahun-tahun selepas mereka keluar dari pusat tahfiz.

“Kita perlu akui daya memori anak-anak zaman kini sudah lemah dan tidak sehebat para ulama terdahulu. Malah, dengan meletakkan  KPI kepada anak-anak, 'berapa juz dah hafal?' berbanding 'berapa banyak yang ingat?,' adalah tindakan kurang sesuai.

“Justeru misi saya ini adalah untuk memantapkan hafalan seteliti mungkin supaya ia bertahan lama sebagaimana kita mengingati surah al-Fatihah. Mengenai kuantiti hafalan pula, saya tidak tetapkan kerana daya memori setiap pelajar  adalah berbeza. Namun apa yang utama, segala yang dihafal dijaga sebaiknya, dan tempoh mereka di DS adalah proses membina “processor” memori yang tinggi untuk jangka masa panjang,”tambahnya.

Cabaran terbesar

Cabaran paling besar adalah mendidik anak-anak yang sedang meningkat usia remaja. Pelbagai godaan yang menarik anak-anak dari al-Quran, terutamanya dunia gajet dan Internet. Maka cabaran pendidik hari ini, adalah mendidik  mereka sesuai dengan zaman.

Bukan mudah menarik minat pelajar untuk terus bersemangat mengenal kalam ALLAH dan Rasul.

Para pendidik perlu memerah keringat sebaik mungkin untuk melakukan pelbagai aktiviti yang membuatkan mereka dapat menghafal dan faham mengapa mereka perlu kepada al-Quran dan hadis.

Menurut Kamilin, setiap anak-anak dididik mengikut latar belakang dan karakter masing-masing. Untuk memantapkan prestasi, masing-masing memerlukan kaedah yang berbeza. Namun melihatkan perubahan positif mereka dari awal kehadiran, membuatkan segala usaha itu dirasakan berbaloi.