Isu LGBT menjadi semakin hangat dibicarakan oleh pelbagai pentas media apabila masyarakat sehinggalah ke pucuk pimpinan negara sudah mula mengambil tahu. Pelbagai teori dan pendekatan cuba diketengahkan bagi mencari punca dan jalan penyelesaiannya.

Selagi mana formula yang dicari hanya berpandukan pemikiran akal semata-mata tanpa merujuk kepada al-Quran dan al-Hadis, selagi itulah punca masalah tidak akan dapat diselesaikan dengan baik, memandangkan isu ini telahpun wujud ribuan tahun lamanya semenjak zaman Nabi Lut dan menjadi ketara di zaman ini. Justeru, hanya Pencipta Manusia yang memahami dan mengetahui akan jalan terbaik bagi umat manusia iaitu dengan kembali semula kepada ajaran al-Quran dan al-Hadis sebagai panduan utama kehidupan. Firman ALLAH  SWT:

Maksudnya: “Dan Nabi Lut (juga Kami utuskan). Ingatlah ketika mana dia berkata kepada kaumnya “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun daripada penduduk alam ini sebelum kamu?”. “Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas” (Al-A’raf: 80)

Sabda Rasulullah SAW: Maksudnya: “ALLAH  melaknat sesiapa yang melakukan perbuatan kaum Nabi Lut,” (Nabi SAW menyebutnya tiga kali). (Riwayat An-Nasa’i)

Merungkai kecelaruan seksual dan jantina yang merujuk kepada komuniti Lesbian, Gay, Biseksual, dan Transgender (LGBT) bukanlah merupakan isu baharu. Sebaliknya, ALLAH   SWT telah menjelaskan pelakuan ini di kalangan umat Nabi Lut AS. Perbuatan homoseksual tersebut jelas merupakan perkara yang ditegah dan dilarang oleh ALLAH   SWT dalam al-Quran dan al-Hadis dan begitulah tegahan dan larangan ini tidak akan berubah selamanya.

Ketegasan ini jelas menunjukkan bahawa Islam adalah agama fitrah yang membawa manusia kepada kehidupan yang sebenar agar setiap manusia mencapai kesejahteraan dan keharmonian hidup bukan sahaja di dunia tetapi matlamat utamanya adalah di akhirat.

Tidak dinafikan, perbuatan dan perlakuan golongan LGBT merupakan sesuatu yang melanggar dan bertentangan dengan fitrah dan norma kehidupan sebagai seorang manusia, bukan sahaja dalam Islam malahan dalam agama-agama yang lain.

Fitrah manusia

Fitrah manusia pada asalnya suci dan bersih dengan sifat semulajadi tetapi disebabkan oleh pendorong dari kepelbagaian faktor dalaman dan luaran menyebabkan seseorang terjebak ke arah yang bertentangan dengan fitrah. Kebiasaannya, apabila berlakunya sesuatu peristiwa hitam yang mula bertapak semenjak kecil atau masa remaja, kesannya akan dibawa seiring dengan peningkatan umurnya sehingga ke tahap dewasa.

Mereka tidak boleh disalahkan sama sekali kerana faktor dorongan ke arah LGBT bukannya datang dengan kerelaan pada asalnya dan dalam masa yang sama, tidak boleh juga meletakkan kepada ketentuan takdir semata-mata sedangkan kita diberi pilihan untuk memilih.

 Apakah golongan ini akan terus dipersalahkan dan berada dalam keadaan bersalah selamanya? Sesungguhnya ALLAH  SWT Maha luas rahmatnya dan Maha pengampun terhadap hamba-hambanya. Sebagai umat Islam, janganlah sekali-kali mengutuk dan mengeji golongan ini kerana terdapat banyak ruang dan pendekatan yang boleh digunakan bagi membantu mereka untuk kembali ke jalan fitrah selagimana pintu taubat masih terbuka.

Justeru, bimbinglah mereka, santunilah mereka, nasihatlah mereka dan berilah peluang kepada mereka untuk berubah sekurang-kurangnya mendoakan buat mereka untuk kembali ke jalan kebenaran.

Dapatkan Nasihat

Bagi mereka yang merasakan diri telah terjebak dan memerlukan bimbingan serta sesi kaunseling, janganlah merasa hina dan malu, rujuklah kepada institusi Islam seperti Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam Negeri, JAKIM dan NGOi yang berkaitan untuk mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar yang terbaik.

Sememangnya tidak mudah untuk berpatah balik setelah sekian lama terjerumus, seumpama penagih yang ketagihan dadah, agak sukar untuk meninggalkannya apatah lagi melupakannya, tetapi yakinlah bahawa naluri fitrah manusia yang dibimbing dengan wahyu ilahi akan sedikit sebanyak terkesan untuk kembali semula kepada kehidupan Islam dalam erti kata yang sebenar.

Bagi membendung dari merebaknya virus LGBT menjadi semakin parah di kalangan masyarakat, keutamaan dilihat bagi setiap keluarga agar memainkan peranan masing-masing untuk memberikan pendidikan agama, meluangkan masa bersama keluarga dengan memberi sepenuh kasih sayang terhadap anak-anak dan mengawasi pergaulan mereka terutamanya melalui pendekatan media sosial yang menjadi medan utama masa kini dalam mempengaruhi pemikiran anak-anak muda untuk cenderung ke arah kegiatan tidak bermoral.

Masyarakat juga perlu prihatin dan memainkan peranan untuk bersama-sama membantu golongan ini. Janganlah menunding jari dengan hanya meletakkan kesalahan di atas bahu dan tanggungjawab pihak berwajib semata-mata kerana masalah ini adalah isu ummah yang perlu ditangani secara bersama.

Yakinlah, jika ada kesungguhan dan kemahuan hati untuk kembali semula ke jalan fitrah, nescaya ada jalan penyelesaiannya. Insya ALLAH , ALLAH  SWT akan membantu dan memudahkan serta menunjukkan jalan terbaik bagi hambanya.