ALLAH SWT berfirman dalam Surah an-Nisa’ ayat 59: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada ALLAH, dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu..”.

Namun, seseorang pemimpin selain daripada Rasulullah SAW, bukanlah seorang yang maksum, terpelihara daripada melakukan dosa dan kesalahan.

Mereka juga adalah manusia yang tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan dalam keputusan perihal dunia dan juga kesilapan yang boleh membawa dosa. Justeru, menegur dan menasihati pemimpin haruslah mengikut konteks dan adab yang betul.

Sepertimana yang dinyatakan oleh Presiden Pertubuhan Multaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia ( Murshid), Dr Zaharuddin Abd Rahman, kaedah menegur terdapat dalam pelbagai bentuk dan konteks. Selain memberikan nasihat yang baik, berlemah-lembut dan berhikmah, teguran juga lebih mudah dihadam oleh pemimpin jika ia boleh dilakukan secara sembunyi.

“Jika dilihat menerusi hadis dan dalil, kaedah menegur itu sangatlah rencam dan mencapah. Ada juga hadis yang menunjukkan bahawa, sesiapa yang ingin menasihati seseorang yang mempunyai kuasa atau pemerintah, janganlah dibuat secara terang-terangan.

“Sepertimana dijelaskan dalam firman ALLAH dalam Surah Taha ayat 43 dan 44: Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berdua berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, semoga dia beringat atau takut (kepada azab ALLAH).

“Merujuk kepada firman ini, ALLAH menyebut kepada Nabi Musa dan Nabi Harun, agar bertemu Firaun, kerana telah menyeleweng dan melampaui batas. Namun gunakanlah bahasa yang tepat tetapi tidak berkasar, semoga dia mendapat peringatan dan berasa gerun lalu memperbaikinya,”katanya panjang lebar.

Zaharuddin berkata demikian, bagi menzahirkan betapa berlemah-lembut itu adalah kaedah yang mudah diterima dan difahami ramai, berbanding hinaan dan kata-kata yang kasar. Ini ternyata dalam hadis nabi yang menyatakan bahawa yang lembut mudah melunakkan manakala yang keras lebih kerap tersasar.

Walau bagaimanapun, beliau tidak juga menolak, teguran umum itu tidak dibolehkan. Bahkan, jika dilihat melalui aspek pendalilan yang lain, pernah juga berlaku teguran secara terbuka antara rakyat dengan pemimpin. Terdapat dalil sahabat Suwaid menegur Nabi di khalayak ramai, demikian wanita menegur Umar al-Khattab sejurus beliau turun dari mimbar dan begitu juga teguran rakyat terhadap umar apabila melihatnya berpakaian seolah baru, yang padahal itu adalah pakaian anaknya. Semua sunnah nabi dan sahabat besar ini menunjukkan pada tempat tertentu, teguran boleh dibuat terbuka namun dengan menimbang kesolehan pemimpin serta tanpa cercaan dan tuduhan.

“Ia boleh dilakukan, sekiranya pemerintah atau pemimpin itu seorang yang baik, soleh dan boleh menerima teguran, walaupun dalam keadaan terbuka. JIka pemimpin zalim, teguran terbuka boleh membawa mudarat yang lebih besar, makai a ditegah.

“Sistem demokrasi yang diamalkan di Malaysia juga membolehkan teguran,  bantahan dan sokongan boleh dibuat secara umum. Namun, ia perlulah mengikut saluran dan adab yang betul, bahasa kemas dan lunak, serta kritikan yang membina,”jelasnya.

Sementera itu, Zaharuddin turut bersetuju media sosial merupakan medium yang sesuai untuk menyampaikan hasrat rakyat kepada pemerintah. Katanya lagi, konsep tular itu adalah satu kuasa yang baharu dan tidak ada pada zaman-zaman sebelum ini. Apa yang tular pula kerap disambut oleh pihak media dan melontarkan soalan terus kepada pemimpin dalam majlis siding akhbar, akhirnya teguran itu sampai.

Kenali watak pemerintah

PERLU lihat watak pemerintah sebelum memberikan teguran dan pandangan. Jelas Dr Zaharuddin Abd Rahman, sekiranya pemimpin itu bersedia menerima nasihat serta memandang tinggi ulama, mereka akan merujuk kepada ulama dalam keadaan apa sekalipun.

“Sebagai contoh, Saidina Umar Abdul Aziz, yang kerap merujuk kepada Imam Malik. Begitu juga pemerintah yang keras seperti Hisyam bin Abd Malik, dia tetap menjemput dan mendapatkan ulama seperti Towus untuk memberikan nasihat dan pandangan.

“Namun, sebaliknya pula akan berlaku sekiranya seorang pemerintah itu zalim, tidak terbuka dan sukar menerima pandangan. Ia akan menimbulkan masalah di kalangan ulama, seolah-olah mereka tidak dipandang dan tiada nilai. Inilah cabaran yang perlu dihadapi oleh ulama.

Bagaimanapun katanya, tidak semua masalah dan kelemahan pentadbiran itu disebabkan oleh pemimpin. Adakalanya, pemilihan ulama penasihat yang tidak ahli dalam beberapa urusan berkaitan juga antara sebab pandangan ulama itu tidak diterima. 

“Sebab itulah perlu dilihat daripada aspek manakah ulama itu benar-benar boleh berperanan. Bahkan, kerajaan juga harus membuka ruang untuk menerima nasihat dan peranan dari kalangan ulama yang spesifik dalam bidang-bidang tertentu. Contohya kewangan, pelaburan, undang-undang, media, kesihatan melibatkan ubat-ubatan, percukaian dan sebagainya. Jangan hanya terhad peranan kepada hal tazkirah dan ceramah agama yang biasa sahaja.

“Manakala jika ia hanya nasihat umum, hampir semua ulama boleh berperanan, misalnya ulama itu boleh menasihati pemimpin menerusi aspek kerohanian dan urusan berkaitan ibadah khususnya yang melibat seruan untuk melaksanakan kebaikan.

"Begitu juga dalam hal yang boleh menimbulkan sebarang persepsi buruk terhadap pemerintah.  Namun dalam hal menegur kesalahan pemimpin, itu memerlukan suatu skil yang berbeza pula, ”jelasnya.

Ulama jadi bahan fitnah

Rasulullah SAW pernah mengingatkan, sebaik-baik Mukmin itu adalah mereka yang bercampur dengan manusia, memberikan nasihat, lalu bersabar dengan perkataan-perkataan yang menyakitkan. Maka itu adalah lebih baik daripada seorang Mukmin yang tidak bercampur dengan ramai orang.

“Keadaan kemajmukan kita hari ini memerlukan Islam itu dibawa dengan cara yang lebih lunak namun bukan pula sehingga ke tahap liberal. Dalam keadaan sebahagian yang agak besar dari kalangan umat Islam hari ini kurang mempunyai kualiti dan integriti yang kuat, akhlak pula tidak begitu cantik dan ekonominya juga tidak kukuh, sehingga tidak mampu dijadikan role model kepada mereka yang bukan Islam. Maka kita perlu mengikut cara yang berbeza, agar ia mudah diterima oleh pelbagai bangsa dan agama.

“Pasca PRU14 ini, diharapkan ulama diberikan tempat yang khusus. Agar dapat memperkasakan majlis kumpulan ilmuan ini supaya mereka bebas memberikan pendapat yang baik kepada kerajaan dengan nas yang kukuh dan pendalilan yang mantap.

“Sepertimana Indonesia, rakyat dan juga pemerintah dapat menerima baik pandangan yang diberikan oleh Majlis Ulama Indonesia yang diwakili oleh pelbagai aliran itu,”katanya.