KETIKA kita berbicara tentang zakat tentu kita semua telah maklum zakat merupakan salah satu ibadah pokok yang diwajibkan kepada seluruh umat Islam. Ibadah zakat ialah sebahagian Rukun Islam yang lima dan tidak sah Islam seseorang itu sekiranya tidak mengaku akan kewajipan ibadah zakat.

ALLAH SWT menggandingkan kewajipan mendirikan solat dengan kewajipan menunaikan zakat dalam puluhan ayat al-Quran seperti ayat 43 Surah al-Baqarah. Menurut para ulama, ini menunjukkan pertama zakat itu merupakan satu kewajipan yang tidak terpisah daripada kewajipan utama yang lain antaranya solat yang merupakan tiang agama.

Kedua, ulama juga menjelaskan bahawa solat adalah ibadat yang kuat hubungan antara kita dengan ALLAH (habluminallah) dalam rangka memperkukuh dan memperkuatkan hubungan kita dengan ALLAH, sedangkan zakat adalah berkait rapat dengan hubungan kita sesama manusia (habluminannas). Ertinya hubungan kita dengan ALLAH dan manusia haruslah seiring. Kedekatan kita dengan ALLAH SWT mengharuskan kita untuk dekat dengan hamba-hambaNya.

Tidak ada orang yang dikategorikan soleh dalam penilaian ALLAH SWT dengan hanya menyandarkan ibadat kepada ALLAH SWT sahaja kemudian mengabaikan ibadat yang mengeratkan hubungan dengan sesama makhluk. Ertinya, setiap hamba ALLAH SWT harus selalu menyedari bahawa tugasannya bukan hanya melaksanakan apa yang diperintahkan oleh ALLAH SWT semata-mata bahkan juga memastikan dirinya senang dan mampu menjadi sumber-sumber kebaikan dan manfaat bagi umat manusia yang lain. Sabda Nabi SAW, sebaik-baik manusia di antaramu adalah yang paling banyak memberi manfaat bagi orang lain (Riwayat Bukhari Muslim).

Zakat dari bahasa bermakna bersih. Membersihkan jiwa (tazkiyatun nafsi) tujuan utama daripada ibadah ini adalah membersihkan orang yang menunaikan zakat daripada sifat buruk akibat dari kecintaan kepada harta. Ternyata tiada manusia yang tidak cinta kepada harta benda. Kita telah diberikan sifat yang cinta kepada harta kalau tidak dikawal dengan baik boleh mengakibatkan munculnya sifat kedekut dan bakhil. Sifat-sifat ini akan mengarahkan kita kepada perasaan angkuh dan sombong seperti perangai Iblis laknatullah.

Perasaan inginkan harta adalah sebagai dorongan untuk kita bekerja mencari nafkah untuk diri, pasangan dan tanggungan kita. Mencari harta sekiranya tidak dikawal dengan iman dikhuatiri berlebihan sehingga berlumba-lumba dan melalaikan, lupa dosa dan pahala lantas menimbulkan perasaan cintakan harta. “Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh)” (At-Takaathur :1:1).

Perintah ibadah zakat ini sekali pandang tidak selari dengan selera kita dan dilihat sebagai bertentangan dengan kesukaan kita. Namun ibadah inilah yang mampu mengawal kita daripada cinta kepada harta yang boleh menyebabkan kita cinta kepada dunia sehingga lupa hari akhirat yang menentukan kehidupan abadi.

Makna zakat itu ialah mengeluarkan harta tertentu untuk golongan tertentu (at-Taubah : 60) dengan syarat-syarat tertentu bukan sembarangan diagihkan. Tidak seperti sedekah, bukan sekadar harta malahan mengeluarkan tenaga, buah fikiran dan senyum juga dikira sedekah, terserah bagaimana caranya, yang penting niat itu baik. Tidak sama dengan zakat yang memerlukan ilmu dan pengetahuan terutama berkaitan dengan aturan yang telah diatur oleh ALLAH SWT. Maka ALLAH SWT memerintahkan Nabi SAW untuk menjalankan pungutan zakat (Surah at-Taubah:103).

Firman ALLAH SWT, “Ambillah” bukan menunggu untuk diberikan oleh orang kaya. Nabi menghantar sahabat-sahabat ke wilayah-wilayah tertentu untuk diambil zakat dari orang-orang kaya yang ada di sana selanjutnya diagihkan kepada orang yang memerlukan. Perintah ini menurut ulama menunjukkan bahawa ibadah zakat memang sebaiknya diurus atau dikelola oleh orang-orang yang memiliki ilmu tentang hal keadaan zakat yang dinamakan Amil yang bekerja untuk kepentingan zakat”.

Tidak ada perintah haji itu dilaksanakan melalui amil haji, solat tidak ada amil solat yang mana kita dituntut mendirikan sendiri begitu juga dengan puasa tetapi khusus untuk zakat ALLAH mengisyaratkan kita melalui ayat 103 Surah at-Taubah untuk melantik amil yang membentuk badan pentadbir yang menguruskan perihal zakat. Badan pentadbir inilah diwakili orang-orang yang mengetahui selok-belok  bagaimana  zakat  itu diurus kutipannya dan pengelolaannya termasuk agihan zakatnya sesuai dengan aturan-aturan yang dikehendaki oleh ALLAH SWT. Ini bermakna ibadah zakat itu tidak hanya mencakupi persoalan kewajipannya tetapi juga terkait dengan bagaimana cara pengurusannya bermula daripada pungutan dan seterusnya agihan yang memerlukan ilmu yang mendalam dan tersusun.

Zakat ini ibadah yang menurut al-Quran merupakan ibadah yang banyak faedah dan manfaat bagi yang melaksanakannya. Menuntut pandangan al-Quran, zakat itu menguntungkan bagi pelakunya. Semakin banyak berzakat semakin banyak rezeki yang menguntungkan. Ketika kita menerima tanggungjawab atau kewajipan berzakat maka muncul bisikan mengatakan kita tidak layak berzakat, atau tidak perlu berzakat. Kenapa perlu mengeluarkan hasil yang sudah menjadi milik kita. Kalau berzakat maka kuranglah belanja harian. Padahal ALLAH SWT menjanjikan ampunan bagi orang yang berzakat. ALLAH menjanjikan pahala dan rezeki bertambah. Kita sering kali alpa dan lebih membenarkan bisikan-bisikan syaitan sehingga akhirnya kita ambil ringan dengan ibadah zakat.

ALLAH SWT menyebut kelebihan zakat dalam al-Baqarah:265 dengan misal satu biji benih ditanam menghasilkan tujuh ratus buah dan ALLAH boleh beri lebih daripada itu. Luar biasa faedah dan hikmat bagi orang yang berzakat. Orang sering beranggapan kalau dengan riba maka bertambah duitnya dan bertambah modalnya. Sedangkan riba itu membinasakan dan menghancurkan harta kita (al-Baqarah:267). Yang boleh mengembangkan harta ialah zakat dan sedekah sunat.

Tatkala kita berzakat, sesungguhnya kita akan atau sedang membantu orang yang memerlukan tetapi yang lebih besar keuntungannya kembali kepada diri kita. Zakat membantu diri kita untuk lebih bersih jiwa, memberikan kesembuhan menurut Nabi SAW terhindar dari penyakit-penyakit berat. Rajin berzakat dan bersedekah kalau kita ingin cepat disembuhkan oleh ALLAH SWT kerana yang memberi kesembuhan ialah ALLAH SWT. Doktor atau ubat-ubatan yang kita makan sebagai ikhtiar dan usaha tetapi sesungguhnya penyembuhnya adalah ALLAH SWT. Sekiranya ingin harta kita dinikmati dan bermanfaat hingga akhirat maka infaqkanlah ia ke jalan ALLAH yang mana salah satu jalan ialah dengan berzakat.