BERLUMBA-LUMBA untuk nampak kaya. Zaman sekarang adalah zaman teknologi yang berkembang pesat dan penuh dengan cabaran. Semuanya berada di hujung jari.

Masyarakat kini seperti sudah menjadi kemestian untuk menunjukkan di media sosial apa sahaja yang dimiliki, dipakai, dimakan dan juga termasuk tempat-tempat yang dikunjungi.

Semuanya seperti berlumba-lumba merakam gambar dan memuat naik ke media sosial untuk tatapan umum. Inilah budaya masyarakat kini yang perlu kita fahami. Suasana seperti ini ada baik dan buruknya.

Adakala budaya ini membawa seseorang menjadi obses terhadap benda-benda yang mahal dan cantik.

Perkara ini akhirnya mendorong seseorang untuk sanggup berbelanja melebihi kemampuannya sendiri. Gajet moden yang canggih daripada jenama tertentu merupakan satu kemestian atau benda pertama untuk dimiliki. Ibarat nyawa dan kehidupan kepada mereka. 

Begitu juga pakaian dan aksesori yang berharga ratusan malah mencecah ribuan ringgit. Mereka sanggup membuat apa sahaja demi mendapatkan apa yang diidamkan.

Bak kata pepatah biar papa asal bergaya. Inilah trend masyarakat hari ini. Biar tidak kaya asal nampak kaya.

Setiap hujung bulan pasti ramai yang merungut gajinya tidak cukup. Kemudian menyalahkan keadaan ekonomi dunia yang teruk dan harga barang yang meningkat.

Benar ada perkara yang di luar kawalan kita dan ada yang kita mampu mengawalnya. Kenaikan harga barang suatu yang kita tidak mampu mengawalnya.

Bergantung kepada faktor permintaan dan penawaran. Kita hanya mampu untuk mengawal sikap dan cara pemikiran kita. Kita boleh menyemak semula ke mana duit gaji kita dihabiskan.

Biasanya apabila ditanya berkenaan zakat, dengan pantas mereka menjawab saya belum layak untuk mengeluarkan zakat. Setiap bulan belanja saya tidak cukup.

Apabila disebut bab sedekah pula katanya tunggu apabila sudah kaya nanti baru nak bersedekah. Persoalannya bila kita akan rasa cukup?

Dari Ibnu ‘Abbas, ia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda,

“Seandainya seorang anak Adam memiliki satu lembah emas, tentu ia menginginkan dua lembah lainnya, dan sama sekali tidak akan memenuhi mulutnya (merasa puas) selain tanah (iaitu setelah mati) dan ALLAH menerima taubat orang-orang yang bertaubat.” (Muttafaqun ‘alaih. Riwayat Bukhari no. 6439 dan Muslim no. 1048)

Berkira-kira untuk memberi

Mendapat nikmat harta merupakan satu perkara yang disukai dan diingini semua orang. Ada yang ALLAH kurniakan rezeki yang melimpah, ada yang sekadar cukup makan dan ada yang diuji dengan kemiskinan.

Di sinilah sebenarnya ALLAH menguji hamba-hambanya. Firman ALLAH SWT mengisahkan tentang Nabi ALLAH Sulaiman AS

Maka tatkala Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di hadapannya, ia pun berkata: “Ini termasuk kurnia Tuhanku untuk mencuba aku apakah aku bersyukur atau mengingkari (akan nikmat-Nya).

Dan barang siapa yang bersyukur maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri dan barang siapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia”.( Surah an-Naml:40)

Kurniaan adalah ujian

Setiap kali kita menerima gaji atau keuntungan daripada perniagaan kita, apakah perkara pertama kita lakukan? Kebiasaannya kita membayar komitmen hutang kita dengan bank, membayar bil, membuat sedikit simpanan dan kita membeli apa sahaja yang kita ingini.

Kadangkala kita terlupa kewajipan untuk menunaikan hak orang lain yang ada pada rezeki kita. Kita lupa untuk mengasingkan sebahagian kecil daripada rezeki yang kita terima untuk mereka yang memerlukan.

Saya pernah ditemukan dengan seorang pembayar yang mencari sebab supaya dikenakan zakat meskipun harta miliknya di bawah paras nisab.

Dia tetap ingin mengeluarkan zakat walaupun tidak wajib. Inilah antara sifat-sifat orang beriman yang ALLAH SWT nyatakan di dalam al-Quran, " (Iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, mendirikan solat, dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka (al-Baqarah : 3)

RM50 sebulan sebagai zakat kadangkala terasa besar dan berat bagi kita berbanding RM50 yang sama kita belanjakan untuk berhibur, minum di kafe atau berbelanja di pasar raya.

Tetapi sedarkah kita bahawa RM1 sekalipun yang kita keluarkan untuk bersedekah kerana ALLAH, sangat besar nilaiannya di sisi ALLAH SWT.

ALLAH SWT telah menjanjikan pelbagai kelebihan bagi mereka yang suka memberi. Antara janji-janji-Nya adalah ALLAH akan menggantikan harta mereka dengan rezeki lain yang lebih baik, menambah dan meluaskan rezeki mereka, juga memberkati dan menjaga harta-harta mereka yang lain Di akhirat pula ALLAH akan memberikan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda kepada orang yang menunaikan zakat dan banyak bersedekah.

Bertindaklah

Agar kita tidak tergolong di kalangan mereka yang menyesal di akhirat kelak, adalah baiknya kita mengambil cakna urusan berkaitan zakat kita. Semak semula harta-harta kita, kemudian kira adakah jumlahnya sudah mencapai kadar nisab yang mewajibkan zakat?

Tunaikan lah zakat sekiranya telah cukup syarat-syaratnya. Zaman ini semuanya boleh diuruskan di hujung jari. Untuk semak, kira dan bayar zakat, boleh lakukannya dengan hanya melayari Portal PPZ-MAIWP di www.zakat.com.my.

Percayalah lebih banyak kita memberi,  lebih banyak kita akan menerima. Kita hanya akan percaya setelah kita sendiri melakukannya. Ayuh, bertindaklah sebelum terlambat.