KEMPEN #AyahkuHeroku angkat martabat ketua keluarga

“Ayah berperanan penting dalam mendidik iman dan membina ibadah anak menjadi hamba ALLAH sejak bayi dalam kandungan.

“Oleh itu, ayah perlu menjadi orang yang beriman sebelum mengajar anak itu beriman,” kata Pengurus Latihan Akademi Sinergi Sdn Bhd, Ustaz Mohd Harfiz Hamzah yang berkongsi ilmu dalam tajuk “Ayah idola anak berjaya” sempena kempen #AyahkuHeroku yang diaktifkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF).

Kempen tersebut bertujuan mengangkat golongan ayah sebagai ketua keluarga untuk memainkan peranan yang mulia, iaitu membawa keluarga ke syurga. Ini merujuk kepada Surah Luqman ayat 12 hingga 19.

Dalam Surah Al-A’raf, ayat 172, ALLAH SWT bertanya adakah, “Aku Rab kamu?” Rab berkaitan dengan tarbiah. Dijawab oleh manusia, “Kami bersaksi.” Persaksian ini berkaitan dengan syahadah.

“Ayah membina dan mendidik iman anak bukan hanya dalam kandungan, malah dia perlu beri perhatian terhadap tauhid anak sepanjang hayat. Anak selepas baligh berhadapan dengan banyak cabaran dunia.

“Mengambil panduan Surah Al-Baqarah, ayat 132 menyebut kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Yaakub yang mewasiatkan kepada anak, “Wahai anak-anakku! Sesungguhnya ALLAH telah memilih agama ini untuk mu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan Muslim.

“Ayat 133 dalam surah sama menceritakan Nabi Yaakub yang sedang menghadapi sakaratul maut masih lagi memberi perhatian tentang iman kepada anak.”

Beliau menambah, ayah perlu membina iman anak untuk menjadi hamba kepada ALLAH SWT. Beriman kepada ALLAH bukan sekadar lafaz, tapi apa yang paling penting untuk diberi perhatian adalah melakukan ibadah perlu jelas.

Apabila ada iman, ia perlu diterjemahkan untuk menjadi hamba. Oleh itu ayah perlu mengajar anak untuk mengabdikan diri kepada ALLAH. Ini disebut dalam Surah Al-Dhariyat ayat 56.

ALLAH berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada ALLAH dengan sebenar-benar takwa kepada-Nya dan janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan Islam.” (Surah Ali- ‘Imran: 102)

Budaya membaca

Di sebalik kejayaan seorang anak, berdirinya seorang ayah di belakangnya. Ini terbukti apabila seorang peneraju syarikat penerbitan terkemuka di tanah air berkongsi kesan pendidikan ayah sejak kecil kini menjadikan beliau berjaya.

Individu yang dimaksudkan ialah Datuk Hussamuddin Yaacub, Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd dan juga Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF).  

Beliau bersama Duta #QuranHour, Norman Hakim berkongsi pengalaman mereka dididik oleh ayah kesayangan masing-masing pada majlis pelancaran #AyahkuHeroku di Taman Tasik Datuk Keramat, 8 Julai lalu.

Hussamuddin menjadikan Allahyarham ayahnya, Yaacub Idris sebagai idola. Ayah beliau merupakan antara pengasas Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lil-Banat. Kata ayah, kerja paling baik adalah memandaikan orang. Jadi apa yang kita buat hendaklah memandaikan orang.

“Cara ayah mendidik kami lapan adik- beradik dengan memberi contoh yang praktikal dan mudah. Pesan ayah, ‘kamu perlu ada visi yang jauh.

“Bukan setakat menjadi peguam, doktor, atau perdana menteri, tetapi jadilah orang yang masuk syurga. Tapi untuk masuk syurga bukanlah mudah. Kita perlu menjadi orang yang berjaya’.

“Ayah mengingatkan kami mengenai ALLAH yang menciptakan malam dan siang. Islam mengajar kita untuk bangun pagi, solat Subuh dan digalakkan bersolat tahajud. Kami disuruh tidur awal, agar mudah bangun pagi dan bersolat Subuh di masjid.”

Anak kelahiran Kelantan ini masih teringat kata-kata ayahnya, ‘kamu kena jalan laju sebab kaki kakimu pendek. Kena cakap kuat supaya orang dengar bila kamu bercakap. Kena ada pendirian. Untuk mempunyai pendirian, perlu banyak membaca’.

“Ayah amat menekankan budaya membaca kepada kami. Sejak dulu, saya banyak buku, majalah dan surat khabar, serta berbincang bersama ayah.

“Ini secara langsung mendidik saya dan adik-beradik berfikir secara kreatif serta mampu menguruskan syarikat untuk menjana ekonomi kepada orang ramai.

“Nilai kasih sayang ayah dan emak telah membuatkan kami adik-beradik berjaya dan mampu menguruskan syarikat serta jabatan dengan baik,” kata bapa kepada enam anak.

 Nilai al-Quran

Hussamuddin berkata, penting kempen #AyahkuHeroku untuk mendorong golongan ayah menjadi orang bertanggungjawab menguruskan keluarga. Ketua keluarga yang berjaya, akan melahirkan pemimpin masyarakat yang berjaya.

“Peranan ayah sebagai hero dan pemimpin yang bertanggungjawab adalah penting membaca dan memahami al-Quran dalam membina keluarga. Seterusnya, si ayah   membawa nilai al-Quran sebagai sistem operasi dalam pembangunan keluarga.

“Oleh itu kita perlu mengadakan gerakan besar-besaran untuk memperkasakan  golongan ayah yang bertanggungjawab. Mesej saya kepada semua lelaki di negara ini kembali ke jalan ALLAH dan menjadi Islam sebagai panduan hidup.

“Projek paling besar adalah rezeki daripada ALLAH. Perlu ada keyakinan kepada ALLAH untuk memberikan kejayaan kepada keluarga di dunia dan akhirat melalui baca, faham dan amalkan al-Quran dalam keluarga,” katanya.  

Bagi Norman, beliau dididik oleh dengan ayah dari segi kecerdasan teknikal dan ibu dari segi kecerdasan emosi. Gabungan dua kapasiti yang berbeza ini membawa kejayaan dalam hidup beliau hari ini.

Sewaktu kecil, beliau melihat kereta ayahnya selalu ada banyak bungkusan beras. Jadi bila singgah ke rumah saudara mara atau orang yang kurang berkemampuan, ayah akan memberikan beras tersebut. Ibu beliau pula tidak pernah putus berdoa untuk anak.

Kini Norman sebagai ketua keluarga mengambil pendekatan ibu dan ayahnya dalam mendidik enam anak. Beliau bertekad untuk memberi didikan terbaik kepada anak.

“Bagi saya, al-Quran penting sebagai sistem operasi kerana terdapat skrip kehidupan. Bertadabbur al-Quran, bukan setakat memahami, sebaliknya ia perlu dilaksanakan.

“Untuk menjadi ayah ‘As-Syams’ (matahari) yang boleh menjadi imam kepada keluarga perlu mempunyai ilmu dari segi psikologi, fisiologi dan sosiologi.

“Saya belajar mengamalkan doa untuk anak daripada ibu dan guru saya. Kita simpan anak-anak dalam doa, bukan di hati yang selalu berbolak balik. Apa yang penting kita hadiahkan Surah Al-Fatihah untuk anak,” katanya.