SHAH ALAM - Menjelang PRU14 yang semakin hampir, blok parti politik pastinya berkempen habis-habisan untuk memenangi hati rakyat.

Namun, baru-baru ini timbul satu gerakan kempen ‘undi rosak’ yang mendakwa sebagai undi alternatif jika pengundi menolak  calon bertanding.

Namun, apakah hukum merosakkan undi atau pandangannya dari sudut agama?

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi laman web rasminya menyebut, mengambil kira pelbagai aspek termasuk pandangan agama, aspek undang-undang dan falsafah Rukun Negara (Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang), mengundi bukan hanya sekadar hak yang diberikan kepada semua warganegara Malaysia.

Sebaliknya, keperluan proses pengundian itu sebagai salah satu proses untuk pelaksanaan perlembagaan dan undang-undang, berikutan tugas wakil rakyat sebagai pembuat dasar dan penggubal bagi maslahat negara dan rakyat. Justeru, tidak dapat tidak, pengundian adalah satu perkara wajib.

Dalam bahasa mudah, pelantikan wakil rakyat, menteri dan pemerintah sebenarnya adalah wajib. Maka, untuk melantik adalah melalui proses pilihan raya atau pengundian, dalam konteks fiqh siyasah di Malaysia.

Justeru, hukum mengundi dan menyediakan infrastruktur pilihan raya yang adil dan saksama itu hukumnya wajib.

Selain itu, tokoh dan ulama Islam turut menjelaskan isu kewajipan melantik pemerintah, antaranya:

1)Imam al-Ghazali Rahimahullah berkata yang membawa maksud:

“Agama itu adalah asasnya sedangkan pemerintah sebagai pengawalnya. Apa yang tidak ada asasnya, nescaya boleh membawa keruntuhan dan apa yang tidak ada pengawalnya akan menjadi hilang.” - Rujuk al-Iqtisad fi al-I’tiqad (halaman 128)

2) Imam Mawardi Rahimahullah berkata yang membawa maksud:

“Imamah atau pemimpin utama adalah menjadi pengganti kenabian dalam mengawal agama dan bersiyasah dunia dengan agama.” - Lihat al-Ahkam al-Sultaniyyah (halaman 5)

3) Imam al-Haramain al-Juwaini Rahimahullah berkata yang membawa maksud:

“Pemimpin utama adalah pemerintah yang sempurna dan kepimpinan berkaitan dengan khusus dan umum pada semua kepentingan agama dan dunia.”       - Lihat Ghiyath al-Umam fi al-Tayas al-Zulam (halaman 15)

Justeru, berdasarkan artikel perbincangan berkenaan, boleh disimpulkan proses mengundi atau melantik pemerintah jadi tanggungjawab rakyat dan perlu dilaksanakan demi kemaslahatan ummah dan negara.

SUMBER: Artikel Bayan Linnas Siri 126 - Hukum Merosakkan Undi, Laman Rasmi Mufti Wilayah Persekutuan