AMAN PALESTIN  meneruskan usaha membantu dan mengagihkan daging korban kepada penduduk Palestin dan Syria, menerusi Kempen Ibadah Korban dan Akikah Palestin Syria 2018.

Pegawai pemasarannya, Anas Abdul Wahab berkata, senyuman kegembiraan anak-anak Palestin ketika menerima sumbangan daging korban daripada rakyat Malaysia adalah saat paling manis untuk dikenang. Justeru, misi bantuan dan agihan ini tidak akan terhenti di situ, sebaliknya akan terus berterusan pada bulan-bulan lain selepas Aidiladha.

“Jika tahun lepas kami hanya buat sembelihan di sana, tetapi tahun ini ada pertambahan lain untuk keperluan penduduk di Palestin dan Syria. Selain daging segar, daging sejuk beku juga turut diagihkan untuk keperluan sepanjang tahun.

“Kami menyasarkan seluruh penduduk Palestin dan Syria dapat menikmati daging korban pada tahun ini, begitu juga mereka yang menetap di Malaysia. Namun ia bergantung kepada kutipan dan bantuan yang diberikan oleh rakyat Malaysia.

“Justeru, kami merayu sumbangan orang ramai untuk melakukan ibadah korban bersama Aman Palestin. Buat masa ini, kami sudah mula menerima banyak penyertaan ibadah korban, namun masih lagi di bawah sasaran RM4.06juta.

"Sekiranya sumbangan ini berjaya dicapai, insyaAllah kami mampu mencapai objektif agihan yang ditetapkan, ”katanya.

Anas berkata, Aman Palestin menawarkan dua pakej korban pada tahun ini. Bagi korban lembu untuk satu bahagian adalah berharga RM1900, manakala nilai korban seekor kambing pula, berharga RM1900.

“Bagaimanapun bagi mereka yang kurang berkemampuan, namun berhajat untuk menghulurkan bantuan, kami turut menawarkan sedekah korban berharga RM350.

“Harga lembu dan kambing juga bergantung kepada harga semasa di sana. Harga yang agak tinggi setelah mengambil kira kos keseluruhan termasuk cukai dan sebagainya,”ujar beliau.

Tambah Anas, bekalan lembu dan kambing bukan sahaja bergantung kepada bekalan sedia ada di Gaza, tetapi juga daripada luar yang dibawa masuk melalui Isreal.

“Selain cukai, urusan perniagaan dan membawa masuk bekalan dengan menggunakan mata wang Israel juga, antara faktor penyumbang peningkatan harga lembu dan kambing,”kata beliau.   

Mengulas lanjut, Anas berkata, penglibatan beberapa NGO juga banyak melancarkan proses agihan di Palestin dan Syria.

Aman Palestin bertanggungjawab mencari dana dan salurkan bantuan kewangan, sementara badan bukan kerajaan (NGO) di sana pula menjadi agensi pelaksana ibadah korban di Palestin dan Syria.

Mereka yang mahu menyumbang, boleh hubungi AMAN PALESTIN di talian 0389267019 atau laman sesawang www.amanpalestin.net.