SHAH ALAM - "Sepanjang berada dalam pusat tahanan di Penjara Kluang, Johor pada tahun 2016, al-Quran adalah teman akrab saya, kongsi vokalis Kumpulan Spring, Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail.

Katanya, di saat dia kelaparan atau teringatkan anak-anak dan keluarga di rumah, al-Quranlah yang dipegang, dibaca dan dihayati.

"Sebab itulah saya kata, al-Quran adalah teman hidup yang sangat sesuai. Ia adalah sahabat sejati dan pengubat jiwa. Sebaik membacanya perut yang lapar menjadi kenyang dan jiwa yang sarat dengan kerinduan akan hilang.

"Kehidupan dalam sel dan di luar sangat berbeza. Dalam sel, kita akan berasa masa itu bergerak dengan sangat lambat. Kita tidak akan tahu bilakah siang atau malam," ceritanya kepada Sinar Harian.

Ameng berkongsi, seorang lelaki berbangsa Cina yang juga gangster pernah melindunginya apabila ada tahanan yang mengugut dengan mengatakan dia pura-pura tunjuk baik depan penguasa, dalam penjara baru sibuk mahu mengaji al-Quran dan sebagainya.

"Kehidupan di sebalik tirai besi diibaratkan nyawa di hujung tanduk. Kita sentiasa berada dalam ketakutan kerana rata-rata yang bersama adalah mereka yang menjalani hukuman.

"Saya bersyukur apabila di saat ada yang mahu berbuat tidak baik dan ALLAH SWT menghantar individu yang berlainan agama dan bangsa membantu saya," katanya.

Menurutnya, semasa awal-awal dimasukkan dalam tahanan, dia sendiri pun tidak menjamin mampu keluar dalam keadaan hidup.

Bercerita lanjut Ameng berkata, selama berada dalam penjara dia mampu untuk memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya.

"Saya mendapat kepercayaan daripada pihak penjara, Kementerian Dalam Negeri (KDN), pihak istana Pahang dan istana Johor untuk membuat persembahanan dalam setiap majlis mereka.

"Saya sering dibawa keluar untuk menghiburkan mereka dan kebiasaannya saya membawakan lagu berkonsepkan nasyid dan berqasidah," katanya.

Dia berkata, ini adalah berkat daripada istiqamahnya membaca al-Quran. Dia mengatakan, sepanjang berada dalam tahanan rezekinya mencurah-curah dan pendapatannya hampir mencecah RM200,000.

Ameng mengatakan, di hari-hari terakhir untuk dibebaskan, dia sedang menghafal Surah Al-Kahfi dan ada tiga muka surat lagi belum berjaya dihafal. Dia berasa sangat sedih, adakah dia mampu untuk berbuat sedemikian apabila keluar kelak.

Selepas hampir dua tahun dibebaskan, Ameng kini aktif dengan pelbagai program motivasi dan sering memberikan ceramah mengenai jenayah serta berkongsi kisahnya dengan masyarakat.

"Selain terlibat dalam bidang seni, saya juga banyak terlibat dengan program motivasi, program perkongsian hidup juga program kempen membaca al-Quran lebih kepada memperkasakan al-Quran.

"Itulah yang saya lakukan, bercerita perihal jenayah, pahit manis kehidupan saya, seterusnya saya bercerita macam mana saya boleh mendekati al-Quran dan menjadikan al-Quran sebagai panduan dalam hidup. Saya banyak melakukan program di sekolah, Institut Pengajian Tinggi (IPT),  jabatan kerajaan, perkampungan, taman perumahan, dan juga program dianjurkan masjid dan surau tempatan di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak," katanya di akhir bicara.