PERKATAAN yang baik dan pemberian maaf lebih baik daripada sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima), ALLAH Maha Kaya lagi Maha Penyantun.” (Al-Baqarah: 263)

Kemaafan dan hubungan baik yang kembali terjalin antara Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan  Perdana Menteri,  Tun Dr Mahathir Mohamed, meruntun jiwa yang menyaksikannya.

Melalui pelbagai cabaran, fitnah dan kesakitan sedikitpun tidak membuatkan beliau menyimpan amarah dan juga dendam. Tinggal kini hanyalah nilai sebuah kebebasan dan juga harapan bersama untuk memperjuangkan rakyat.

Inilah bukti  betapa hebatnya sifat memaafkan. Ia bukan sahaja memurnikan hati-hati manusia, tetapi juga dapat melenyapkan perasaan amarah dan sifat-sifat mazmumah dalam kehidupan masyarakat sehingga lahir sebuah negara yang bersifat baldatun tayyibatun warabbun ghafur.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, dalam melayari kehidupan sebagai manusia yang bersifat ijtimaie  (bersosial), sedikit sebanyak ia pasti akan membawa pelbagai permasalahan dan khilaf sama ada lontaran pendapat, kesilapan tindakan, tersalah cakap dan juga prasangka yang kurang baik.

 

Justeru,  sikap tolak ansur dan saling memaafkan antara satu sama lain sangat diperlukan, agar kenikmatan dan keharmonian itu dapat dirasai bersama.

“Pahala yang cukup besar juga menanti mereka yang bermaafan. Kelebihan yang ketara, adalah hilangnya penyakit stress dan tekanan dalam diri manusia.

“Melihatkan tokoh-tokoh yang bersifat pemaaf, akan mendorong seseorang itu untuk menjadikan sifat pemaaf  sentiasa bertapak dalam jiwa. Contohilah Rasulullah SAW sebagai qudwah dan uswah. Disebabkan sifat pemaaf, lisan dan akhlak baginda yang begitu unggul, telah  menyebabkan ramai memeluk Islam.

“Begitu juga bila kita menekuni sejarah salaf al-soleh dan sentiasa berfikiran positif. Selain mengukuhkan sifat pemaaf dalam jiwa, seseorang itu juga akan dapat mendidik jiwanya untuk  beriman kepada qada dan qadar,  serta reda dengan penuh rasa kehambaan kepada ALLAH SWT,”terang beliau panjang lebar.

Beliau turut menerangkan tentang sebuah kisah yang dinukilkan oleh Abu al-Laith al-Samarqandi dalam kitabnya Tanbih al-Ghafilin. Antara lain menyebut: Suatu hari datang iblis bertemu Nabi Musa AS dan memohon agar diberi keampunan ALLAH atas tindakannya.

Justeru, Nabi Musa AS mengadu dan munajat kepada ALLAH, lantas ALLAH memperkenankannya dengan syarat syaitan sujud pada kubur Adam AS. Dengan segera iblis menunjukkan marahnya seraya berhujah: Adakah patut aku sujud padanya sedangkan beliau telah meninggal dunia padahal masa hidupnya pun aku tidak sujud padanya.

Kemudian iblis berkata wahai Musa, oleh kerana kamu menolongku, aku ingin berpesan kepadamu supaya ingat kepadaku dalam tiga keadaan:

Pertama: Ingat kepadaku ketika bersama dengan wanita ajnabi kerana aku yang ketiganya dengan menggoda utuk melakukan maksiat.

Kedua: Ingat kepadaku ketika berada di medan jihad kerana aku akan berkata kepadanya nanti anak kamu menjadi yatim dan isteri kamu menjadi janda.

Ketiga: Ingat kepadaku ketika dalam keadaan marah kerana aku boleh bermain dengannya sebagaimana kanak-kanak bermain dengan guli.

Kisah di atas membuktikan sifat pemaaf itu cukup hebat kerana banyaknya kelebihan yang boleh dimanfaatkan oleh manusia, antara lain adalah dapat menjinakkan musuh kepada Islam.

“ Hal ini dapat dibuktikan, ketika Rasulullah SAW membuka kota Mekah pada tahun 8H di mana Rasulullah SAW menyampaikan ucapan kepada penduduk Mekah: Apakah sangkaan kamu yang aku lakukan kepada kamu? Mereka menjawab: Saudara yang mulia dari keturunan yang mulia. Lantas jawab Baginda SAW: Pergilah kamu. Sebenarnya kamu merdeka dan bebas. Akhirnya dengan kenyataan tersebut berapa ramai di kalangan mereka terpaut dan memeluk Islam.

“Memaafkan juga boleh menyebabkan masuk syurga ALLAH SWT. Hal ini terbukti apabila ALLAH memberi kedudukan yang istimewa seseorang yang menahan sifat marah dengan menyifatkan mereka seperti al-kazimina al-ghais.

“Begitu juga dalam kehidupan berumah tangga, ALLAH SWT menyeru supaya bermuasyarah antara suami isteri dengan yang baik berdasarkan pemeliharaan hak-hak suami isteri. Sifat tolak ansur dan memaafkan ini bukan sahaja dapat membahagiakan keluarga, bahkan anak-anak juga  secara langsungnya dapat mempelajari sikap ibu bapa yang pemaaf,”akhiri beliau.