SHAH ALAM - “Semoga keduanya sabar dan tabah menghadapi ujian ini dan ditempatkan anak kecil ini di dalam syurga ALLAH SWT bersama-sama mereka yang beruntung di sisi-Nya." Demikian ucapan takziah dan kata-kata semangat  Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri kepada pasangan Mohd Sufi Naeif Mohd Fauzi, 28, dan Farah Madiha Othman, 28, yang merupakan ibu bapa kepada Adam Rayqal.

Kelmarin, Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif, bayi berusia lima bulan ditemui meninggal dunia di rumah pengasuhnya di Taman Nakhida, Batu Caves.

Farah Madiha memaklumkan kepada Mohd Sufi Naeif sekitar jam 7 petang mengenai bayinya yang dikatakan dilarikan daripada rumah pengasuh.

Mohd Sufi Naeif kemudian menularkan kisah bayinya yang hilang di media sosial.

Zulkifli menzahirkan ucapan dukacitanya itu di laman Instagram dan turut memuat naik gambar bayi berkenaan.

“Mendengar khabar yang amat mendukacitakan hati ini. Kami sampaikan hadis ini kepada ibu bapa Adam Rayqal,” katanya dalam posting yang menerima lebih 8,000 like sehingga petang semalam.

Daripada Abu Hassan, beliau berkata: “Sesungguhnya dua anak lelaki aku telah meninggal dunia. Bolehkah engkau sampaikan apa-apa hadis daripada Nabi Muhammad SAW yang akan melegakan diri kami atas kematian dua anak kami?”

Abu Hurairah menjawab: “ Ya, kanak-kanak itu akan menjadi anak-anak di syurga. Apabila salah seorang mereka berjumpa dengan ayahnya atau kedua ibu bapanya, dia akan memegang pakaian atau tangan ibu bapanya sebagaimana aku memegang hujung baju kalian. Anak itu tidak akan melepaskannya sehingga ALLAH memasukkannya dan ayahnya ke dalam syurga.” (Riwayat Muslim).