MATA adalah salah satu panca indera yang sangat penting bagi manusia. Semestinya tanpa mata, manusia tidak dapat melihat. Namun, fungsi mata sering kali terganggu oleh beberapa faktor seperti rabun jauh atau rabun dekat yang disebabkan oleh faktor keturunan, atau cara penjagaan mahupun faktor usia.

Untuk mengukur seberapa tinggi rabun mata, sering kali para penghidap harus membuat pemeriksaan mata ke doktor atau ke optik mata dengan cara mencuba satu per satu tahap rabun mata dengan menggunakan Snellen Chart dan lensa yang diubah-ubah. Hal ini bertujuan memeriksa kerabunan yang dialami oleh seseorang.

Seperti yang kita ketahui, rabun bukan hanya ada pada orang dewasa mahupun orang tua bahkan kanak-kanak juga turut mengalaminya. Sebuah laporan kajian pada tahun 2003 yang dijalankan di Gombak, Selangor, 35 peratus daripada kanak-kanak bersekolah adalah rabun, yang mana 65 peratus adalah berbangsa Cina, 30 peratus Melayu dan 15 peratus India.

Selain itu, turut berlaku di Singapura kajian mendapati satu pertiga kanak-kanak memakai cermin yang mana merupakan satu jumlah yang amat tinggi. Kajian itu juga mendapati, lebih banyak mengulang kaji juga akan membuatkan kanak-kanak lebih cepat mengalami rabun jauh. Hal ini merupakan salah satu daripada kebimbangan global apabila peningkatan miopia atau rabun jauh yang menjejaskan ramai kanak-kanak dalam usia persekolahan dan semakin menjadi isu kesihatan utama pada zaman sekarang.

Inovasi lasik

Bagi pelajar yang belajar di sekolah mahupun di universiti, mereka selalu terdedah kepada sinaran cahaya seperti menghadap komputer, telefon, experiment dan sebagainya. Hal ini demikian kerana bagi menyiapkan tugasan yang diberi mereka terpaksa menggunakan gajet tersebut tidak kira pagi petang mahupun 24 jam. Ia boleh menyebabkan mata mereka akan menjadi rabun akibat perbuatan tersebut.

Namun perkembangan teknologi perubatan sejak 1950-an telah membawa kepada penemuan bagi mengatasi masalah kerabunan mata iaitu rawatan Laser-Assisted in Situ Keratomileusis atau lebih dikenali sebagai Lasik. Rawatan ini merupakan satu inovasi dalam perawatan mata daripada penggunaan pisau kepada penggunaan laser sepenuhnya dan ramai yang tidak tahu mengenainya.

Sebelum disahkan sesuai untuk menjalani lasik, seseorang itu akan menjalani pemeriksaan mata yang menyeluruh di mana kesihatan mata ditentukan dan ketebalan kornea dan darjah kerabunan akan diperiksa bagi menentukan kesesuaian lasik.

Terdapat individu berminat untuk melakukan lasik yang dikesan mempunyai masalah mata lain dan mungkin kurang sesuai menjalani lasik, tetapi rawatan khusus dapat diberi di samping beberapa alternatif lain.

Ia merupakan rawatan yang tidak menyakitkan kerana tidak menggunakan pisau dan tiada sebarang jahitan untuk proses ini, malah ia juga merupakan salah satu trend dalam kalangan golongan muda zaman sekarang untuk kelihatan cantik. Prosedur ini memakan masa hanya 15 minit, berbanding jika kita menggunakan lensa mahupun cermin mata.

Mengubah bentuk kornea, rawat rabun

Menurut Prof Dr Muhaya Mohamed, lasik itu satu kaedah menggunakan laser untuk mengubah bentuk kornea bagi merawat kerabunan.

Manusia dilahirkan dengan tiga jenis mata. Yang pertama, mata yang kuasa dia boleh nampak semua terang dari jauh. Yang kedua, ada orang yang dekat dia nampak, jauh dia tak nampak- rabun jauh, dan ada orang dekat pun tak nampak dan jauh pun tak nampak – itu rabun dekat.

Dan ada orang pula dia rabun silau astigmatisme, di mana ada bahagian terang dan ada bahagian yang tak terang –  jadi ini dipanggil rabun. Jadi, tujuan lasik dilakukan ialah untuk menghilangkan semua kerabunan ini dengan mengubah bentuk kornea itu.

Oleh kerana kita mengubah bentuk kornea secara kekal dengan lasik maka hanya orang yang power matanya tak berubah lagi. Maknanya kanak-kanak yang sedang membesar sebelum 18 tahun dia tidak akan kekal, dia berubah-ubah, tak boleh buat. Jadi, antara 18 hingga 25 tahun selalunya power sudah stabil. Maka baru boleh buat. Jadi, power mesti kekal dan stabil.

Menurut kajian, pesakit kencing manis atau darah tinggi boleh melakukan proses ini jika retina berada dalam keadaan sihat. Bagi wanita yang mengandung dan menyusu sebelum enam bulan tidak digalakkan. Kos untuk prosedur ini agak mahal antara RM6,990 (untuk umur bawah 40) dan RM7,990 (40 tahun ke atas) bergantung pada tempat.

Setelah membuat rawatan ini, mereka dapat melihat tanpa menggunakan cermin mata. Namun kestabilan penglihatan dapat dicapai dalam tempoh enam bulan. Selain itu, mereka bebas dari memakai sebarang alat bantuan seperti cermin mata dan kanta sentuh.

Tiada lagi penggunaan cermin mata!

Dari segi kerjaya, sesetengah kerjaya memerlukan penglihatan baik tanpa bantuan seperti askar, juruterbang, polis dan sebagainya akan menjadi pilihan pada sesiapa yang sebelum ini tidak dapat memohon kerana disebabkan oleh cermin mata. Hal ini secara tidak langsung apabila tiada masalah mata yang timbul, tanpa cermin mata keyakinan diri juga akan meningkat.

Kita juga harus beringat. Kita dikurniakan mata oleh Tuhan untuk kita mencari rezeki. Firman ALLAH SWT dalam Surah al Mulk ayat 15, “Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan ALLAH; dan kepada ALLAH jualah (kamu) dibangkitkan hidup semula.

Oleh itu, kita harus menggunakan mata dengan sebaik mungkin agar ALLAH tidak menarik nikmat tersebut. Mata juga perlukan rehat yang secukupnya. Oleh itu, jagalah mata kita dengan sebaik mungkin agar kita tidak menjadi buta pada suatu hari nanti.

Nikmat ALLAH itu indah. Sekali dia Dia tarik maka gelaplah dunia ini. Kita sebagai manusia di bumi ini harus sentiasa ikhtiar dalam mencari segala kaedah perubatan untuk diri sendiri. Kita hanya mampu menjaga tapi segalanya terletak pada kuasa Tuhan yang mentadbir sekalian alam. Percayalah pada qada’ dan qadarNya.

* Penulis penuntut Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi, Usim