THAILAND terkenal dengan penduduk yang mesra, pantai yang cantik, tempat bersejarah, tarikan ekopelancongan dan keenakan masakan tempatannya.

Pada tahun 2016, direkodkan sejumlah 32.6 juta pelancong mengunjungi Thailand. Jumlah ini dijangka meningkat kepada lebih daripada 40 juta pelancong menjelang tahun 2020. Ramalan bagi tahun 2020 menunjukkan sebanyak 31.2 juta, 5.7 juta, 1.3 juta dan kurang 2% pelancong yang akan berkunjung ke Thailand adalah masing-masing dari rantau Asia Pasifik, negara Eropah, Amerika Utara dan lain-lain (Asia Tengah, Amerika Latin dan Afrika).

Bangkok tersenarai di antara 10 bandar terbaik dunia yang ingin dilawati terutama oleh pelancong dari China, USA, India dan Timur Tengah. Sistem pengangkutan yang cekap di Bangkok yang mempunyai dua lapangan terbang (Suvarnabhumi dan Don Mueng), keretapi BTS, keretapi bawah tanah MRT dan perkhidmatan bot menjadi salah satu daya tarikan pelancongan.

Industri pelancongan merupakan sumber ekonomi utama Thailand yang menyumbang kepada 6 hingga 7% pendapatan dalam negara kasarnya. Pada tahun 2016, pendapatan daripada industri pelancongan mencecah THB 2.5 trillion (USD 71 billion). Purata belanjawan harian pelancong pula adalah THB 5.100 per pelancong.

Unit khas

Dengan peningkatan sektor pelancongan Thailand sejak 30 tahun lalu, unit khas telah diperkenalkan oleh Royal Thai Police. Pegawai polis komuniti memakai lencana khas yang ditugaskan untuk menjaga keselamatan dan kesejahteraan pelancong. Polis komuniti ini juga menghadiri kursus bahasa Inggeris bagi memudahkan komunikasi di antara mereka dan pelancong antarabangsa.

Polis komuniti bersiap sedia untuk menghadapi sebarang situasi pada bila-bila masa seperti kemalangan trafik, kecurian dan isu jenayah lain. Individu penting dalam memastikan kecekapan polis komuniti ini terdiri daripada Police Lieutenant General Sakorn Thongmunee (Komisioner Biro Polis Komuniti), Police Major General Katcha Thartsart dan Pol. Maj. Gen. Surachate Hakparn (Timbalan Komisioner Biro Polis komuniti).

Struktur Biro Polis komuniti dibahagikan kepada 4 bahagian dan 1 sub bahagian. Pusat panggilan 1155 ditubuhkan bagi membantu pelancong tanpa mengambil kira masa beroperasi bagi menjamin keamanan dan keselesaan pelancong. Operasi 24 jam oleh Polis komuniti ini dapat meningkatkan imej negara.

Menurut Pol. Maj. Gen. Surachate Hakparn, industri pelancongan Thailand turut dipacu melalui sistem komuniti seperti penglibatan komuniti community engagement di Hua Hin, sukarelawan bermotor dan berbasikal. Di Hua Hin terdapat 4 kawasan dipertanggungjawabkan iaitu Samut Sakhon, Sanyt Songkhram, Phetchaburi dan Prachuap Khiri Khan.

Pusat Stesen Polis Komuniti Hua Hin pula terdiri daripada Polis Komuniti Kaeng Krachan dan Amphawa. Stesen Polis Komuniti Hua Hin terdiri daripada seorang inspektor, tiga sub inspektor, 20 non-commissioned, lima pegawai pelancong dan 40 sukarelawan.

Bantu pelancong

Terdapat dua kereta patrol polis dan dua motosikal patrol polis disediakan. Polis komuniti di bawah Royal Thai Police yang disokong sepenuhnya oleh Jabatan Pelancongan, Kementerian Pelancongan dan Sukan dengan misi untuk menyediakan bantuan kepada pelancong antarabangsa dan tempatan serta menyokong sektor pelancongan yang lestari. Sektor pelancongan Thailand di bawah polisi kerajaan untuk merancakkan lagi ekonomi negara dengan meningkatkan dan mengagihkan pendapatan kepada sektor lain negara.  

Menurut Pol Maj Gen Surachate Hakparn, polis komuniti amat komited dalam meningkatkan aspek keselamatan dan kesejahteraan pelancong. Salah satu inisiatif yang diambil adalah meningkatkan kerjasama dengan negara jiran seperti Malaysia dalam membincangkan isu ancaman yang boleh menggugat industri pelancongan.

Pencegahan jenayah dapat diatasi dengan kolaborasi antara Thailand dan Malaysia melalui pendekatan kualitatif dengan melibatkan penyelidikan dokumentasi, mewujudkan kumpulan berfokus dan wawancara terperinci daripada pakar bidang untuk kedua-dua pihak.

Kerjasama erat yang telah terjalin di antara Malaysia dan Thailand yang diketuai oleh Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman memperlihatkan kesungguhan kedua-dua negara dalam menjalin usaha sama meningkatkan sektor pelancongan negara.

Menurut Pol Maj Gen Surachate Hakparn dan Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman lagi, kerjasama pelbagai pihak berkepentingan yang terlibat bagi kedua-dua negara perlu dipertingkatkan untuk menaik taraf kemudahan, infrastruktur, perkhidmatan dan produk yang dilihat dapat meningkatkan lagi sektor pelancongan negara.

* Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, UKM