KEHADIRAN warga asing mendiami  Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1  disedari penduduk di perumahan tersebut apatah lagi ketika ini  sedang hangat dengan isu tersebut.  

Ini termasuklah seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang  mendakwa ada terserempak dengan sekumpulan warga asing dipercayainya warga  Bangladesh ketika menaiki lif untuk ke tingkat atas bangunan.

Sebagai gadis remaja, pastinya dia risau mengenai keselamatan apabila terserempak dengan lelaki warga asing.

"Saya takut kalau nampak  dan terjumpa 'Mat Bangla' (warga Bangladesh). Kalau kebetulan terserempak dengan mereka ketika mahu menaiki lif, saya tidak mahu naik sebab takutlah," dedah  remaja comel berkenaan kepada wartawan Sinar Siasat.

Dia yang sedang belajar dalam tingkatan tiga di sebuah sekolah berhampiran tinggal bersama datuk dan neneknya di perumahan tersebut.

Seorang pemandu lori yang juga penghuni PPR Lembah Subang 1,  turut mendedahkan kepada wartawan Sinar Siasat, hal berkenaan bukan perkara baharu yang mana rata-rata penduduk termasuk dia sendiri mengetahui beberapa kumpulan warga asing tinggal di tingkat atas blok perumahan tersebut.

"Warga asing  paling ramai di sini adalah dari Indonesia, diikuti Bangladesh dan Pakistan, namun jumlah mereka tak ramai.

"Cuba fikir, adakah mereka tinggal di perumahan ini  secara percuma.  Sudah tentu mereka menyewa unit rumah PPR ini, tak mungkin duduk 'free'.  Sudah pasti ada pemilik asal yang menyewakan unit rumah mereka semata-mata nak mencari  keuntungan, sekurang-kurangnya dari RM500 hingga RM600 sebulan," kata lelaki berkenaan dengan suara lantang.

Katanya, warga asing yang menghuni unit kediaman PPR itu dipercayai bekerja di kawasan berhampiran kediaman tersebut memandangkan kedudukannya yang terletak berdekatan tapak pembinaan serta beberapa premis perniagaan.

Tambah lelaki berusia 60-an itu, setakat pengetahuannya warga asing Indonesia dilihat paling ramai  mendiami PPR Lembah Subang 1 berdasarkan bahasa dan gaya pertuturan mereka.

"Saya percaya tentu ada dalam kalangan warga asing ini masuk (datang Malaysia) kosong (tanpa permit). Cubalah pihak berkuasa buat pemeriksaan dari pintu ke pintu rumah di sini dan periksa betul-betul maklumat pemilik.

"Serbu semua dan bersihkan semua warga asing jika mahu selesaikan masalah ini," katanya melontarkan cadangan itu.

Dia juga sedih, kerana kemudahan yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat Malaysia tidak berkemampuan itu telah didiami warga asing kerana penangan pihak tidak bertanggung jawab.

"Warga asing tidak kisah duduk berhimpit walaupun sampai 20 orang. Tingkat atas paling ramai sebab banyak unit kosong," dakwanya.

Seorang lagi penduduk PPR Lembah Subang  1 turut bersetuju dengan pandangan pemandu lori berkenaan mengenai kehadiran warga asing  mendiami unit kediaman yang dibina khas untuk rakyat Malaysia  itu.

"Warga Indonesia paling ramai tinggal di sini. Rakyat Bangladesh pun ada tapi tak seramai warga Indonesia," katanya  yang berniaga di tepi jalan berhampiran perumahan itu.  

Sebagai peniaga katanya, dia mengenali setiap pelanggannya sama ada penduduk tempatan atau warga asing yang membeli jualannya.

"Warga asing memang ada membeli hasil jualan saya.. Tidak kiralah warga Indonesia, Bangladesh mahupun Pakistan termasuk penduduk asal,"  ujarnya yang sudah lebih  10 tahun tinggal di situ.

Seorang suri rumah yangg sudah 10 tahun tinggal di perumahan tersebut menceritakan,  sebelum satu serbuan dilakukan pihak berkuasa di sebuah blok di PPR berkenaan, pada bulan lalu, dia ada melihat kelibat warga asing sekali gus tidak menafikan  bahawa dia mengetahui ada penduduk yang menyewakan rumah kepada warga asing.

Begitu juga dengan seorang seorang juruteknik berusia 29 tahun yang memaklumkan kepada wartawan Sinar Siasat kerap terserempak dengan kumpulan warga asing ketika menaiki lif ke tingkat atas rumah berdasarkan bahasa dan gaya pertuturan.

Dia percaya kumpulan warga asing itu menyewa rumah tingkat atas blok tersebut.