DALAM kegusaran penduduk setempat mengenai isu tanah perkuburan semakin penuh dan sesak dengan jenazah, sikap waris ketika urusan mengebumikan jenazah ahli keluarga memburukkan lagi keadaan.

Seorang pengurus jenazah profesional yang juga Pengasas Mykhairat Management Services Sdn Bhd, Mohd Yusni Ismail berkata, masalah yang sering berlaku ialah apabila waris kerap bertelagah dengan jawatankuasa masjid untuk mengebumikan jenazah di kawasan perkuburan sesak semata-mata mahu dekat dengan kubur ahli keluarga mereka yang meninggal dunia sebelum ini.

Beliau berkata, keadaan berkenaan menampakkan seolah-olah kawasan tanah perkuburan dilihat sudah penuh hingga menimbulkan kegusaran kepada ahli kariah.

“Ada dalam kalangan mereka berkeras mahu kebumi jenazah di tanah perkuburan yang sama berdekatan dengan jenazah ahli keluarga lain sedangkan ruangnya dah tak ada. Itu yang menampakkan tanah kubur itu penuh,” katanya.

Tambahnya, terdapat juga di kalangan waris yang memilih untuk mengebumikan jenazah di kawasan elit, contohnya di tanah perkuburan Seksyen 16, Kota Damansara meskipun si mati bukan tinggal di kawasan berkenaan.

“Kadangkala terdapat waris yang meninggal dunia di kawasan Selangor contohnya di Tropicana Golf bagaimanapun mereka mahu mengebumikan si mati di tanah perkuburan Bukit Kiara (kawasan Kuala Lumpur),” katanya.

“Permasalahan akibat tanah perkuburan adalah masalah remeh yang sengaja diada-adakan  waris. Saya juga kurang bersetuju apabila tanah kubur atau wakaf ditandakan waris untuk kebumikan ahli keluarga di kawasan kubur sama,” katanya.

Mykhairat Management Services Sdn Bhd adalah  perkhidmatan pengurusan jenazah profesional yang beroperasi di Petaling Jaya.

Syarikat berkenaan bernaung di bawah Angkasa melalui My Angkasa Mukmin bertanggungjawab menguruskan jenazah secara fizikal bermula daripada memandikan jenazah, kafan, solat, hantar jenazah dan kebumi jenazah hingga selesai.