Selangor antara negeri agak kronik menghadapi masalah warga asing memandu kenderaan berat walaupun  Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor sering menangani masalah ini.

Sehubungan itu Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Nazli Md Taib memberi amaran kepada majikan yang tidak bertanggungjawab menggaji pekerja asing memandu lori atau treler milik syarikat.

“Pemilik atau pengusaha kenderaan berat digesa turun padang bagi memastikan siapa pekerja (pemandu lori) mereka. Ada kala pemilik tidak tahu kerana operasi syarikat  diuruskan oleh pengurus.

“Pastikan pemadu lori mempunyai lesen sah. Sekiranya mereka degil dan gagal beri kerjasama, JPJ  boleh bertindak dengan menggantung lesen atau lesen boleh ditarik balik,” katanya.

Beliau berkata, jika pemandu agresif, tindakan keras boleh diambil, bukan sahaja kepada mereka tetapi juga kepada syarikat.

Katanya, pemilik harus beri kerjasama agar keselamatan jalan raya lebih selamat dan JPJ akan memastikan tiada lagi kenderaan berat dipandu warga asing.

Ini kerana warga asing memandu kenderaan perdagangan seperti lori, treler dan kontena adalah satu ancaman kepada pengguna jalan raya lain memandangkan kerana mereka tidak mempunyai kemahiran berikutan mereka ini tidak boleh memiliki Lesen Memandu Kenderaan Barang-barang Malaysia (GDL).

Menurutnya, lesen GDL hanya untuk warga tempatan, bukannya untuk warga asing.

“Mereka ini (pemandu warga asing) tiada kemahiran langsung dan boleh memberi ancaman besar kepada pengguna jalan raya di seluruh negara khususnya di Selangor sebagai sebuah negeri mempunyai industri padat serta jumlah kenderaan yang banyak. Mereka ini tidak terlatih untuk mengendalikan kenderaan berat.

“Apa dikesalkan adalah apabila ada syarikat yang langsung tidak kisah bila pemandu (warga asing) ini ditahan.

“Kita keluarkan saman kepada pemandu dan pemilik. Ada syarikat tidak kisah sebab saman pemilik mereka akan bayar, tetapi bayaran untuk saman pemandu ini diabaikan. Sekiranya pemandu ini berhenti kerja dan sebagainya, syarikat akan cari pemandu lain atas faktor permintaan tinggi,” katanya kepada Sinar Siasat.

Nazli berkata, JPJ mendapati syarikat-syarikat ini sanggup menggaji warga asing sebagai pemandu kenderaan barangan atas beberapa faktor antaranya syarikat tidak perlu membuat sebarang pembayaran caruman pekerja selain faktor pembayaran gaji yang lebih rendah berbanding warga tempatan.