Warga asing yang melakukan kesalahan memandu kenderaan berat di negara ini licik memberi banyak alasan setiap kali ditahan dalam operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).  

Sinar Siasat kali ini mengambil contoh dalam Ops Pewa dijalankan JPJ Selangor di Pelabuhan Barat, Klang yang sempat diikuti oleh Wartawan Sinar Siasat, baru-baru ini.

Seorang pemandu warga India berusia lingkungan 30an mendakwa dia bukan drebar lori kontena tetapi hanya seorang mekanik sedangkan ketika itu dia memandu kenderaan berat tersebut untuk ke sebuah stesen minyak.

Apabila diminta menunjukkan dokumen pengenalan diri ternyata pemandu lelaki itu cuma menunjukkan pas kerja dan hasil semakan mendapati ia pas untuk bekerja di sektor perkhidmatan.

“Saya cuma mahu pergi isi minyak saja di depan,” katanya yang memberitahu masuk ke Malaysia sejak tiga tahun lalu dan menerima gaji kira-kira RM2,000.

Seorang lagi pemandu lori membawa muatan sampah dari Indonesia ini pula mengaku terpaksa menjadi pemandu lori untuk mencari rezeki di Malaysia.

“Saya baru setahun buat kerja ini. Gaji saya tak banyak, RM900 sahaja. Sebelum ini saya kerja buat bangunan, tapi selalu kena tipu, sebab itu saya buat kerja ini” katanya.  

Lebih mengejutkan, dia mendakwa tahu perbuatannya itu salah mengikut undang-undang Malaysia, tetapi dia tiada pilihan lain untuk mencari rezeki.  

“Saya tahu saya salah membawa kenderaan berat ini. Baru minggu lepas saya kena saman,  saya belum pun bayar,” katanya.

Turut mendakwa tahu warga asing tidak boleh memandu kenderaan berat di Malaysia adalah lelaki Aceh berusia 19 tahun ini. Dia masuk ke negara ini menggunakan pas pelancong tetapi ketika operasi JPJ, dia didapati memandu lori membawa muatan sampah.