RANCANGAN pembangunan bagi setiap penempatan baharu sememangnya memperuntukkan satu tapak urusan pengebumian jenazah bagi umat Islam, kata Caretaker Unit Kubur Jais, Abd Malek Ghazali.

Menurutnya, setiap kali kawasan bandar baru dibuka, memang terdapat tapak khusus untuk tanah perkuburan.

"Bagi menampung jumlah penduduk semakin padat pula pihak berwajib melaksanakan konsep kubur berpusat yang biasanya berkeluasan lebih 20 ekar atau lebih bagi satu kawasan dan kubur bersepadu yang memang berbeza dengan perkuburan kariah.

“Konsep kubur berpusat bermaksud bila sesebuah kawasan baru dibuka, mana-mana jenazah dari luar boleh dikebumikan di kawasan perkuburan berkenaan, ” katanya.

Menurut beliau, antara contoh tanah perkuburan berpusat adalah Selat Klang di Klang dan Seksyen 21, Shah Alam yang masing-masing diselia oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Lagi contoh adalah tanah perkuburan Islam di Ukay Perdana yang nak dibuka dengan keluasannya sekitar 50 ekar serta di Johan Setia dengan keluasan lebih 20 ekar.

“Konsep tanah perkuburan Islam berpusat ini banyak menyelesaikan masalah perkuburan di Selangor iaitu tanah perkuburan dalam mukim yang sudah penuh. Ia juga menempatkan jenazah tidak dituntut atau tiada waris ketika dia meninggal di hospital.

"Bagaimanapun untuk membaca jangka hayat perkuburan, ia adalah dengan menilai bancian kematian dalam tempoh setahun untuk membuat anggaran berapa lama tempoh masa perkuburan itu boleh digunakan.

"Contohnya, dari segi kiraan jenazah yang boleh masuk dikebumikan bagi satu-satu tanah perkuburan untuk satu ekar adalah antara 1000 ke 1,230 jenazah, maknanya setahun 100 orang dan boleh bertahan 10 tahun bagi satu ekar itu. Jadi dalam tempoh antara 20 hingga 30 tahun, Jais lihat tanah perkuburan cukup," katanya.

Pada masa sama beliau memberitahu, konsep tanah perkuburan bersepadu juga adalah alternatif di mana konsep perkuburan itu menghimpunkan perkuburan Islam, Kristian, Hindu dan sebagainya dalam satu kawasan seperti dibangunkan oleh Majlis Perbandaran Sepang.

Sementara itu di dalam kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 dan 31, Shah Alam antara inisiatif pihak berwajib sebagai perancangan untuk mengatasi isu tapak-tapak tanah perkuburan telah hampir penuh di negeri Selangor.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, MBSA Shahrin Ahmad berkata, bagi tujuan sama, MBSA bakal mengendalikan dan mengawal selia sebuah lagi tanah perkuburan di Seksyen U14.

Untuk rekod kepadatan penduduk Negeri Selangor mengikut daerah pada tahun 2010 adalah daripada 1 orang per hektar kepada 36 orang per hektar mengikut sumber banci penduduk dan perumahan Malaysia 2010, Jabatan Perangkaan Malaysia (kajian semula rancangan struktur Negeri Selangor 2012).   

MPSJ sudah buat persediaan                

Sebuah lagi tanah perkuburan Islam perlu diambil perhatian adalah Tanah Perkuburan Islam USJ 22 memandangkan ia menerima jenazah dari beberapa mukim yang padat penduduk.

Setakat ini, tanah perkuburan berkeluasan 19 ekar itu masih memiliki kekosongan tanah seluas sembilan ekar yang mana satu ekar tanah dianggarkan boleh memuatkan kira-kira 1,000 jenazah.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Mohd Zulkurnain Che Ali berkata berdasarkan sembilan ekar tanah itu, unjuran jangka hayat keluasan tanah perkuburan tersebut yang setakat ini menempatkan 3,500 jenazah dianggarkan penuh pada tahun 2040.

Pada masa sama Mohd Zulkurnain memberitahu, Tanah Perkuburan Islam USJ 22 bersedia menerima kemasukan jenazah dari kawasan kejiranan misalnya dari sebuah tanah perkuburan lama terletak di Puchong yang difahamkan sudah penuh.

“Dianggarkan pada tahun 2040 jumlah jenazah dijangka melangkaui jumlah keluasan itu. Cuma setakat ini ia masih mampu menampung kemasukan jenazah bagi 18 kariah termasuk USJ dan Puchong walaupun secara purata terdapat satu kematian sehari.

“Buat masa ini penduduk setempat tidak perlu risau kerana MPSJ masih memiliki tanah perkuburan seluas 33 ekar di Bukit Lanchong, Putra Heights yang akan diwartakan dan kemudian digunakan sekiranya Tanah Perkuburan Islam USJ 22 ini penuh,” katanya.

Tambah Mohd Zulkurnain, di bawah perancangan perbandaran, MPSJ membangunkan tanah seluas 33 ekar itu selaras dengan kepesatan penduduk dan ia dianggar memadai untuk jemaah MPSJ selepas tahun 2040.

Mohd Zulkurnain menegaskan, biarpun persekitaran lokasi baharu itu sedang pesat dengan pembangunan, MPSJ akan memastikan tanah perkuburan di Putra Heights tersebut tidak terjejas dan permasalahan tersebut sudah dibincangkan bersama pihak pemaju.

Dalam pada itu, Mohd Zulkurnain berkata, dalam usaha memastikan pengurusan Tanah Perkuburan Islam USJ 22, PBT berkenaan membangunkan laman web kubur MPSJ bagi memudahkan waris mendapat maklumat mengenai si mati.

Tanah perkuburan yang kini diurus seramai lapan kakitangan itu sedang mempertingkatkan pengurusan perkuburan kecuali urusan mandi jenazah.

Kadar harga minimum urusan itu adalah RM150 bagi jenazah warga tempatan manakala RM250 bagi jenazah warga asing berserta laporan polis.