SEORANG  bekas ketua urusetia  pernah terlibat menguruskan kontinjen jemaah haji Program Khas Haji Perdana Menteri di bawah Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB)  berkongsi pandangan dan perasaan selepas menjadi insan terpilih menyertai program berkenaan yang ditaja oleh kerajaan BN pada 2015.

Memulakan bicara Jais Abdul Karim berkata, ketika diberitahu mengenai tawaran itu, beliau sangat bersyukur kerana bakal menjadi tetamu ALLAH SWT namun sebagai insan biasa beliau tidak terkecuali daripada memiliki hati berbelah bahagi mengenai status tajaan itu memandangkan syarikat milik kerajaan tersebut terpalit tohmahan skandal salah guna wang sejajar dengan penubuhannya yang mendapat kritikan hebat daripada kerajaan Pakatan Rakyat (kini Pakatan Harapan).

Sehubungan itu Jais berkata, beliau mengambil inisiatif sendiri menyelidik dengan beberapa pegawai di syarikat berkenaan dan kemudian rata-rata daripada mereka berkongsi pandangan  bahawa tajaan itu adalah hasil keuntungan syarikat yang dimasukkan ke dalam Yayasan 1MDB.

“Hati rasa lega menerima tawaran itu tapi untuk memuaskan lagi perasaan  ragu-ragu , kebetulan rezeki saya diperkenalkan dengan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dalam satu majlis berbuka puasa pada tahun tersebut, lalu saya ambil kesempatan minta pandangan beliau mengenai status tajaan itu.

 “Beliau (Harussani)  mengatakan,  anggap tajaan itu berupa hadiah daripada  kerajaan kepada rakyat yang tidak berkemampuan. Sebagai negara Islam, pemimpin-pemimpin yang berkenaan mesti tahu mengenai hukum berkaitan halal dan haram  kerana ia berkaitan ibadah. Selepas mendengar saranan mufti tersebut, saya berkeyakinan untuk menerima tawaran menunaikan haji di bawah tajaan yayasan itu,” jelas Jais.

Mengimbas kembali tugasnya sebagai urus setia kontinjen haji program 1MDB pada tahun tersebut, Jais teruja bercerita kerana beliau bertanggungjawab menguruskan satu kontinjen iaitu seramai kira-kira 400 jemaah yang antaranya terdiri daripada kalangan imam masjid yang sudah berusia.

Mengulas mengenai hajat tak kesampaian jemaah tahun ini, Jais menasihati peserta terlibat supaya bersabar kerana apa yang berlaku adalah ketentuan ALLAH dan belum sampai masa mereka menjadi tetamu kota Makkah.  

“Mesti ada sebab musabab apa yang berlaku dan pastinya tersembunyi rahmat  di sebalik kejadian ini,” kata Jais.

Bagaimanapun sebagai manusia biasa, dia bersama jemaah lain terkesan dengan tohmahan segelintir pihak yang mempertikaikan status ibadah haji mereka dua tahun lalu itu sama ada mabrur atau tidak.