KEBERANIAN  warga asing menyewa unit-unit kediaman di PPR Lembah Subang 1,  didakwa ada kaitan dengan kumpulan gengster yang memberi perlindungan kepada mereka.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Lembah Subang (JKPLS), Datuk Yusoff HM Hanif mendakwa  kumpulan  berkenaan membantu warga asing menyewa dan mendiami lot-lot kosong  di PPR berkenaan.

"Sepengetahuan saya terdapat  lebih 800 unit kosong di PPR Lembah Subang 1,  tidak diisi penduduk atas sebab tertentu. Jadi mereka menduduki unit-unit rumah tersebut bukan saja warga Bangladesh tetapi Nepal, Indonesia dan Vietnam pun ada.  

"Warga asing itu  kebanyakannya bekerja di kawasan berhampiran perumahan tersebut. Mereka bayar lebih daripada nilai sewa dibayar pemilik rumah. Mereka bukan duduk kosong, mereka bayar kepada pelindung mereka antara  RM300 dan RM400," dakwa Yusoff.

Tambah Yusoff, Lembah Subang adalah sebuah nama cukup cantik dan indah disebut namun umum tahu perumahan yang dibina untuk membantu golongan  miskin bandar itu  sudah lama ibarat menjadi 'lembah hitam' atau 'lembah besi karat' terutama  aspek kebersihan persekitarannya.  

"Dengan alasan ini, pemilik asal tidak mahu tinggal di rumah PPR itu lalu ambil kesempatan mencari untung dengan memberikan sewa kepada warga asing.

"Maklumlah pemilik cuma perlu membayar RM124 untuk  sewa bulanan unit rumah mereka. Terlalu murah," katanya.

Ujar Yusoff, sudah pasti pemilik rumah boleh mengaut untung jika mengenakan sewa lebih tinggi kepada warga asing yang sememangnya jenis tidak memilih keadaan rumah.

"Inilah masalah sebenar PPR Lembah Subang 1 yang indah sekadar pada namanya," ujar Yusoff berkias.

Kata Yusoff, sebagai bekas pengerusi beliau mencadangkan beberapa solusi yang mungkin boleh diambil supaya tidak ada lagi pihak terus menerus mengambil kesempatan ke atas isu warga asing itu.

"Saya cadangkan setiap unit rumah PPR Lembah Subang 1 dijual terus kepada penghuni bagi mengelakkan pihak berwajib menanggung kos kerosakan berulang-ulang.

"Bila rosak sikit atau terdapat sebarang kerosakan,  mereka harapkan pihak berwajib saja. Jika dijual terus kepada penghuni, secara jangka panjang biar penghuni bertanggung jawab.

"Kedua adalah kadar sewa yang sudah sampai masa perlu dinaikkan kerana sudah tidak relevan penghuni cuma bayar sewa RM124 sebulan  sebaliknya minimumkan kadar sewa kepada RM300 sebulan. Kemudian barulah perbaiki aspek pengurusan termasuk pengendalian sampah sarap," cadang Yusoff.

Tambah beliau, rumah PPR berkenaan bersifat transit namun ada penduduk yang sudah menghuninya selama berbelas tahun tanpa bayar sewa sejak penghapusan setinggan dibuat pada 2003 dan mereka dipindahkan di situ.

"Antara 100 hingga 287 orang tidak pernah bayar satu sesen pun selama tinggal di rumah PPR berkenaan," katanya.

Tambahnya, bagi memperbaiki persekitaran perumahan itu, sudah sampai masa supaya cadangan pelaksanaan pemasangan pagar mengikut fasa bagi setiap blok PPR berkenaan serta membina satu sahaja laluan masuk.

Bukan setakat isu warga asing tetapi PPR Lembah Subang 1 juga perlu 'dibersihkan' tetapi aspek kebersihan sekeliling dan cara sosial penduduk perlu diutamakan.