Seorang peniaga kosmetik mengaku pernah dipanggil gila oleh segelintir pihak yang tidak suka aktivitinya yang kerap berswasfoto lalu kemudian memuat naik gambarnya di Facebook dan Instagram.

Siti Zuraidah Bakar, 36, mengakui kegilaannya berswafoto bukan kerana mentalnya tidak sihat sebaliknya ia salah satu strategi perniagaan melariskan jualan produk di butiknya yang terletak di Puchong, Selangor.

Setiap kali mengambil gambar swafoto, Siti Zuraidah pasti memuat naik gambar itu di FB miliknya Mustieraris Haikal dan juga Instagramnya.

“Mula-mula saya rasa ‘down’ juga tapi lama-kelamaan saya telan kecaman itu dan tidak ambil pusing sindiran di belakang saya.

“Terdapat segelintir wanita termasuk saya, kami akui bila berselfie ia menjadi satu kepuasan bila dilakukan setiap hari, bila sehari tak selfie saya rasa hidup saya kurang lengkap,” katanya yang berswafoto antara lima dan lapan kali sehari.

Pada masa sama, menurutnya, perbuatan berswafoto adalah hak dan keinginan masing-masing.

“Bila kita berselfie, pelanggan dan rakan-rakan dapat tahu perkembangan semasa kita lebih-lebih lagi bagi mereka yang jarang bertemu secara bersemuka.

“Ia secara tidak langsung  mengeratkan hubungan silaturahim bila kita bertanya khabar mengenai perkembangan semasa dalam mana-mana laman sosial bila gambar kita dimuat naik.

“Bagi saya orang suka pada gambar kita boleh ‘like’ jika tidak suka, boleh abaikan kerana kita bukan mahukan perhatian seperti ‘like’. Cukuplah orang tahu keadaan kita pada ketika itu sama ada gembira atau sebaliknya,” katanya.

Oleh itu, dia tidak mahu orang lain sembarangan mengecam serta mengkritik aktivitinya itu.

“Orang yang suka mengecam itu sebenarnya kurang kasih sayang dan secara tepatnya mempunyai masalah jiwa.

“Kepada peminat selfie, teruskan berselfie selagi ia membahagiakan kita dan abaikan cakap-cakap orang di belakang kita kerana ia sedikit pun tidak menjejaskan kehidupan seharian kita,” katanya.