Ringankan beban peneroka  

Kerajaan diharap dapat membantu meringankan beban peneroka Felda yang terjejas dengan serangan ulat bungkus.

Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamad Shariff berkata, bantuan wang sebanyak RM1,500 sebulan daripada kerajaan dan Felda dilihat relevan untuk setiap peneroka sebelum tanaman yang diserang ulat bungkus pulih sepenuhnya.

Menurutnya, ia juga dapat mengelakkan peneroka daripada terus menambah hutang mereka.

"Saya mencadangkan agar kerajaan bersama dengan Felda memberikan RM1,500 sebulan sebagai  bantuan kepada peneroka.

"Maknanya RM750 diberikan secara hutang melalui Felda dan separuh lagi diberikan oleh kerajaan sebagai bantuan kepada peneroka.Jika mahu Felda tanggung sepenuhnya, ini akan menyebabkan peneroka terus berhutang dan jumlah hutang mereka akan meningkat," katanya.

Kata Sulong Jamil, mengambil contoh di Felda Besout 2 yang diserang ulat bungkus, tuaian hasil sawit turun mendadak dan memberikan kesan kepada peneroka yang terlibat.

"Jika pada tahun 2017, hasil sawit yang berjaya dikutip adalah sebanyak 18.2 tan sehektar berbanding untuk tahun ini hanya 3.49 tan sehektar.

"Pendapatan peneroka dianggarkan hanya sekitar RM200 sebulan selepas ditolak dengan pelbagai hutang dan pembayaran lain," katanya.

Sementara itu, beliau turut mencadangkan semburan racun menggunakan pesawat dua kali setahun dalam usaha memastikan serangan ulat bungkus dapat dibasmi.

"Jika tidak, saya khuatir masalah ulat bungkus ini akan merebak ke keseluruhan 11,000 hektar ladang di Besout ini.

"Di pihak Felda, memang ada langkah pencegahan dengan menyuntik pokok, tetapi ia belum cukup. Ramai yang tidak tahu ladang Felda dikelililingi oleh ladang milik pekebun kecil, orang asli dan estat.

"Jadi, ulat bungkus daripada ladang sekeliling ini yang merebak ke ladang Felda menyebabkan ia sukar dikawal. Jadi usaha kerajaan dan MPOB amat diharapkan untuk mengelakkan serangan ulat bungkus ini terus berlaku," katanya.  

 Lupuskan hutang tak wajar               

Kira-kira 92 peneroka di Felda Bukit Rokan Utara (FBRU) Gemencheh, di sini, memohon kepada kerajaan PH untuk meneruskan manifesto bagi menghapuskan hutang-hutang tidak wajar dan tak wujud yang dikenakan Felda sebelum ini ke atas mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Peserta Getah FBRU, Abdul Mulup Badar, 73, berkata, masalah yang dihadapi mereka itu sudah berlanjutan sejak dari tahun 2004 lagi apabila pihak Felda mula mengambil alih pentadbiran kebun getah yang sebelum ini dibangunkan semula penduduk menggunakan bantuan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) pada tahun 1997.

Menurutnya, pada Januari 2010, pihaknya telah mengetengahkan masalah berkenaan kepada kepimpinan setempat melalui Majlis Perjumpaan Khas Peneroka FBRU bersama wakil rakyat serta Felda yang dihadiri wakil felda di peringkat Wilayah Raja Alias.

“Hutang kami peneroka yang usahakan tanaman getah bersama Risda sebelum ini sudah mencecah lebih RM1 juta.  Kalau ikut-ikutkan seorang peneroka ada hutang dalam RM40,000 ke RM50,000. Kami buat kebun guna bantuan Risda sebelum ini dan hanya ambil bantuan sara hidup dari felda sahaja selama bertahun-tahun sebelum kebun keluarkan hasil.

“Patut tak wujud kos pembangunan, menanam pokok, membaris anak getah. Sebelum PRU14, iaitu 30 April lalu, baru saya dapat surat persetujuan untuk menghapuskan beberapa kos tak wujud dari tahun sebelumnya, namun sehingga kini masih belum ada penyata hutang yang diberi kepada peneroka,” katanya.

Abdul Mulup berkata, sebagai generasi pertama, dia sangat berharap agar perjanjian hitam putih berkenaan hutang peneroka dapat dibuat dengan segera.

“Ya saya akui bagi hutang bantuan sara hidup tu memang kami ada ambil. Mula-mula RM500 hinggalah RM900.

“Hutang ini memang hutang kami tapi bagi kos-kos bantuan dan kerja yang Felda memang tak buat sebelum ini, kami nak hitam putih dimansuhkan,” katanya.

Menurutnya, ada dalam kalangan 92 peneroka yang sudah pun melangsaikan hutang bantuan sara hidup berkenaan, namun sehingga ke hari ini mereka masih tertanya-tanya mengenai status pembayaran hutang tak wujud berkenaan.

“Tengok dalam penyata pendapatan hasil memang tak ada tolak lagi tapi itulah tak ada hitam putih.  Harga getah pun sekarang ni terlalu rendah berbanding dulu.  Sekitar RM2.00 sekilogram,” katanya.

Bagi Mohd Ayob, 74, dia sekarang tidak terbeban dengan hutang Felda memandangkan sejak dari awal lagi dia sudah nekad untuk tidak mengambil bantuan sara hidup setelah dicabar oleh pihak pengurusan Felda sebelum ini.

“Tapi sekarang peneroka macam saya ni yang bergantung hidup menoreh getah nak dapat pendapatan RM1,000 sebulan pun payah lebih-lebih lagi masa musim hujan," katanya.

Seorang lagi peneroka, Juminah Misran, 72, berkata, dia sukar untuk mendapat buruh bagi menoreh getah di kebunnya memandangkan harga getah kini yang tidak tinggi serta tidak berbaloi dengan masa yang dihabiskan di kebun.

“Bagi orang luar toreh tak lama pun, dua bulan lepas tu dia lari… bukan sebab apa susah sangat nak cari buruh sebab harga getah tak berbaloi,” katanya.