KUALA LUMPUR - Polis jalankan siasatan terperinci kes tembakan yang berlaku di hadapan sebuah pusat hiburan di Taman Maluri, Cheras malam tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, siasatan sama ada kejadian itu mempunyai kaitan dengan kejadian tembakan di sebuah kelab malam di ibu negara sebelum ini.

“Siasatan sedang giat dijalankan termasuk membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tiada mangsa yang tercedera dalam kejadian itu.

Dalam kejadian malam tadi, puluhan kelongsong peluru ditemui di hadapan pusat hiburan berkenaan.

Mohd Lazim berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian daripada seorang lelaki kira-kira jam 9.30 malam.

"Pemeriksaan di lokasi kejadian telah menemui 26 kelongsong peluru kaliber bersaiz 5.56 milimeter (mm).

“Selain itu, sebanyak 18 helai kertas bersaiz A4 yang memaparkan gambar dua lelaki disyaki warga tempatan turut ditemui dalam jarak kira-kira 22 meter daripada lokasi tembakan dilepaskan," katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta menghubungi Asisten Superintendan Mutazlim Hamdan di talian 03-9205 0222 atau 019-784 2754, Inspektor Mohamad Syafiq Mohamad Rusdin di talian 03-9205 0222 atau 018-240 4072 dan Pusat Kawalan Polis Kuala Lumpur 03-2146 0584/585,” katanya.