Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata,  ketegasan daripada tindakan penguatkuasaan, polisi dan arah tuju terhadap import barangan pertanian yang jelas perlu ada dalam mengawal kenaikan harga barang di negara ini.

”Kalau nak berubah kita kena ada ketegasan daripada penguat kuasa dan polisi, pada masa sama kerajaan juga kena ada arah tuju jelas.

”Hari ini kita dapat lihat sendiri contohnya, tidak ada arah tuju dan polisi yang jelas terhadap barang-barang dijual.

”Misalnya, kalau kita pergi Chow Kit, saya ingat dalam 10 peratus sahaja barangan tempatan manakala selebihnya adalah barang dari Vietnam, Indonesia dan Thailand,” katanya.

Beliau berkata, sepatutnya tanaman boleh ditanam atau boleh hidup di negara ini ditanam dalam negara bagi mengelakkan kebergantungan pada import dari negara orang lain.

“Apa saya nampak, semua jenis tumbuhan diimport walhal ada segelintirnya boleh ditanam di negara ini.

“Jika macam buah anggur, tidak mengapalah import kerana ia tidak sesuai ditanam di negara kita.

“Apa dikesalkan adalah tanaman seperti pisang, serai, halia dan lengkuas turut diimport dari Thaliand dan Vietnam. Konsep ini perlu diubah.

”Saya harap kerajaan baharu dapat mengubah polisi ini bagi membolehkan harga barangan pada kadar lebih murah,” tegasnya.

Dalam pada itu, Nadzim berkata, seperkara lagi untuk mengelakkan harga barang mahal ini perlu bermula dari kesepakatan pengguna.

“Menjadi budaya masyarakat kita, walaupun harga sesuatu barangan itu mahal pun tetap nak beli.

“Contohnya, pergi pasar harga kacang panjang dalam RM5 ke RM6, bila petang kacang tersebut habis dan harganya meningkat kepada RM15. Orang beli juga. Maksudnya harga RM5 orang beli, RM10 pun orang beli, harga RM15 pun orang beli,” katanya memberikan andaian mengenai sikap pengguna.