ORANG ketiga atau sesiapa sahaja terbukti menjadi punca keruntuhan sesebuah rumah tangga orang lain sebenarnya boleh dihukum penjara mengikut undang-undang sedia ada namun setakat ini nampak seperti undang-undang itu cuma ‘dipandang sepi’.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, walaupun ada mangsa membuat aduan namun setakat ini belum ada pendakwaan kes dibuat terhadap individu digelar perosak rumah tangga dipercayai ia berkaitan kelemahan penguatkuasaan oleh Jabatan Agama Negeri.

“Isu perosak rumah tangga ini di bawah bidang kuasa penguatkuasaan jabatan agama setiap negeri. Untuk proses siasatan ia di bawah pegawai penguat kuasa agama negeri dan bila selesai siasatan baru dipanjangkan kepada bahagian pendakwaan yang juga di bawah kuasa jabatan agama negeri.

“Kebanyakan kes orang ketiga, kami sebagai peguam cuma boleh menasihati klien supaya membuat aduan. Kes adalah seratus peratus bergantung kepada bahagian siasatan. Kalau mereka (penguat kuasa jabatan agama negeri), siasat dan menemukan kes, ia akan  dipanjangkan pula kepada bahagian pendakwaan, tetapi setakat ini tiada lagi pendakwaan sama ada ia sangkut di bahagian siasatan atau kes tidak kuat diteruskan peringkat  pendakwaan,” jelas Musa.

Umum tahu, peruntukan undang-undang berkenaan digubal  bertujuan memelihara keharmonian ummah dengan mengurangkan kadar penceraian sekali gus perpecahan institusi rumah tangga.

Selain itu, ia bagi mengelakkan sebarang masalah sosial lain termasuk kesihatan mental mangsa seperti tekanan dan kemurungan akibat  kehadiran perosak rumah tangga.

Beliau juga seperti peguam syarie yang lain, mahu melihat contoh proses pendakwaan di mahkamah dilakukan terhadap perosak rumah tangga namun setakat ini belum ada kes pendakwaan yang boleh dijadikan panduan oleh semua pihak.

Tegasnya, agak menyulitkan peguam syarie untuk membantu klien yang terlibat masalah ini kerana peruntukan undang-undang tersebut di bawah kesalahan matrimonial (jenayah syariah) tetapi pada masa sama mangsa tidak boleh mengambil tindakan sendiri atau dalam erti kata lain memfailkan saman MAL secara terus kepada pihak ketiga (perosak rumah tangga) itu, sebaliknya mereka perlu membuat aduan untuk siasatan.

“Saya sebagai peguam syarie selalu menerima maklum balas, banyak dijumpai sebagai kes suka sama suka yang akhirnya diputuskan sebagai bukan satu kesalahan.

“Rakyat Malaysia mengetahui peruntukan undang-undang ini namun ada mangsa yang memilih untuk perceraian selepas aduan tidak ada penyelesaian kerana proses pembuktian yang leceh,” katanya.

Musa tidak menolak proses siasatan bagi tujuan pembuktian dianggap rumit kerana melibatkan peringkat demi peringkat. Maka di sinilah perlunya pemerkasaan Jabatan Agama Negeri memandangkan peruntukan undang-undang itu sudah ada, sekali gus peranan Jabatan Agama Negeri amat penting untuk proses pembuktian selepas menerima aduan, seterusnya melakukan siasatan.

Seiring dengan kemajuan teknologi dan media sosial hari ini, proses siasatan untuk pembuktian perlu diperkukuh termasuklah jabatan agama negeri perlu bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi tujuan forensik bagi mengesahkan ketulenan bukti, misalnya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), aplikasi WhatApps mahupun platform media sosial lain seperti Facebook atau Twitter.

Bahan bukti di mahkamah perlu disahkan tulen oleh pakar yang tentunya bergantung kepada forensik polis dan pakar  dari SKMM bagi tujuan itu.

Namun kata Musa, di peringkat awal siasatan sudah gagal lalu untuk itu  peguam syarie meminta jabatan agama negeri memperkasakan peruntukan undang-undang sedia ada memandangkan peratus perceraian berpunca akibat orang ketiga (perosak rumah tangga) bukan suatu jumlah boleh dibiarkan tanpa penyelesaian.