BEKAS Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar sedia maklum ada penyewa asal yang mengaut untung dengan membenarkan warga asing menduduki rumah mereka di PPR Lembah Subang 1.

Menurutnya, ini kerana kebanyakan penyewa asal cuma menjadikan rumah tersebut sebagai transit selepas  berpindah dari kawasan setinggan.

Beliau berkata, disebabkan sikap penyewa asal, masalah warga asing memghuni rumah PPR tidak akan berkesudahan.

Oleh sebab itu kata Noh, KPKT di bawah kerajaan BN mahu melaksanakan konsep 'rent to own' bagi mengelak penyalahgunaan seperti itu.

"Melalui konsep 'rent to own', rumah tersebut akan terus dijual kepada mereka, bagi hak milik," katanya.

Pada masa sama, katanya KPKT di bawah terajunya dulu ada membuat pemutihan berkala di PPR berkenaan membanteras warga asing daripada mendiami unit-unit rumah berkenaan.

"Pemutihan dibuat sebuah syarikat pengurusan dengan pergi ke setiap rumah untuk buat siasatan," katanya.

Tambah Noh, sepanjang bertanggungjawab sebagai Menteri KPKT, pihaknya meluluskan peruntukan RM16 juta bagi membaikpulih lif di lapan blok PPR berkenaan.

"Selain lif, kita berhasrat memasang kamera litar tertutup (CCTV) berdekatan lif termasuk melaksanakan penggunaan kad akses di pintu masuk lif.

"Hampir RM20 juta pula diperuntukkan untuk membina parkir bertingkat dan prasarana seperti rumah sampah dan lain-lain kemudahan, tapi hanya kerja penggantian serta baikpulih lif  sempat dibuat, selebihnya tak sempat memandangkan BN kalah pada PRU14 lalu," kata Noh.

Beliau berkata, sekiranya BN masih memerintah kerajaan memang merancang penyusunan semula keadaan di PPR itu seperti kedudukan gerai jualan, parkir bertingkat bersama kedai jualan serta menubuhkan bilik kaunseling dengan kerjasama Jabatan Pendidikan dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Tegas Noh, penubuhan bilik kaunseling di PPR berkenaan penting selepas melihat kawasan PPR itu diselubungi  masalah sosial seperti ponteng sekolah dan kes dadah.  

"Melalui bilik kaunseling itu, bukan sahaja anak-anak bahkan ibu bapa mempunyai masalah boleh dirujuk untuk kaunseling," katanya.