SERANGAN ulat bungkus di Felda Besout, Perak memberikan kesan kepada peneroka apabila mereka tidak dapat menuai buah sawit.

Ketua Peneroka Besout 1, Alias Salion berkata, kehadiran ulat bungkus sejak tahu lepas itu cukup membimbangkan dengan ada di antara peneroka yang tidak mempunyai hasil pendapatan sejak tiga bulan lalu.

"Terdapat peneroka yang dah tak ambil buah dalam tiga bulan ini sebab tiada buah langsung. Bayangkan untuk menampung hidup tanpa pendapatan. Apa yang mahu diberi makan kepada keluarga mereka.

"Berdasarkan pengalaman saya yang sudah hamipr 50 tahun menjadi peneroka  , serangan ulat bungkus kali ini paling teruk buat kami warga peneroka yang memang bergantung harap kepada hasil sawit," katanya.

Jelas Alias, pendapatan diterima rata-rata peneroka ketika ini kebanyakan kurang daripada RM200 sebulan.

Menurutnya, terdapat juga peneroka yang terbeban dengan hutang sehingga mencecah ratusan ribu ringgit selepas tidak mampu membayar kembali wang yang dipinjam daripada Felda.

"Yang agak terbeban terutama peneroka yang menerima wang kos sara hidup RM1000 sebulan. Jika 36 bulan mereka tidak dapat menuai hasil atau sedang menunggu hasil, maknanya mereka telah berhutang RM36,000 dengan tidak termasuk kos lain.

"Sebab itu ada peneroka yang hutang mereka mencecah ratusan ribu ringgit," katanya.

Justeru, Alias mengharapkan kerajaan membantu memberikan dana serta mencari jalan terbaik bagi mengatasi masalah ulat bungkus.