Seramai 197 pelajar yang sedang mengejar impian sebagai belia mahir penyelenggaraan pesawat terpaksa dilanjutkan cuti oleh pihak pentadbiran Admal Aviation College kerana masalah pembayaran daripada Kementerian Pendidikan.

Ibu bapa mereka mulai risau kerana tidak tahu permasalahan sebenar konflik antara kolej berkenaan dengan Kementerian Pendidikan.

Wartawan Sinar Siasat cuba mendapatkan pandangan pihak yang terbabit dalam permasalahan ini. Namun ketika masalah ini sedang diselesaikan, siapa yang akan menjadi mangsa?

Ibu bapa kepada 197 pelajar yang mengikuti program Vokasional ( Diploma in Aviation, Ground Handling - Ramp Services) di Admal Aviation College, Sepang bimbang dengan situasi anak-anak mereka yang dilihat mula tertekan berikutan penangguhan sesi persekolahan di kolej itu, sejak Ogos lalu.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Mohd Shuhaimi Ismail berkata, dia menerima aduan daripada ibu bapa bahawa ramai pelajar yang menyesal kerana mengikuti program berkenaan apatah lagi apabila melihat rakan-rakan mereka yang belajar di tempat lain, tidak menghadapi masalah.

"Kami risau mereka tertinggal silibus pelajaran memandangkan pelajar-pelajar itu akan menduduki peperiksaan penting bermula pertengahan Oktober ini," katanya.

Menurut Mohd Shuhaimi, pada 29 Ogos lalu pihak ibu bapa telah menerima notis melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) bahawa cuti semester para pelajar tersebut dilanjutkan sehingga satu tarikh diberitahu kelak namun sehingga sekarang , para pelajar belum menerima maklumat bila sesi persekolahan akan disambung semula.

Mohd Shuhaimi berkata, pihak ibu bapa juga keliru kerana terdapat dua jawapan berbeza antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pentadbiran kolej berhubung alasan penangguhan itu.

"Pertama, kami diberitahu oleh pentadbiran kolej bahawa sesi pengajian tidak akan disambung sekiranya bayaran tidak dilunaskan oleh Kementerian Pendidikan. Kami diberitahu, pihak kolej tidak menerima bayaran selama enam bulan.

"Selepas dimaklumkan mengenai penangguhan itu oleh pentadbiran kolej, kami membuat perjumpaan pula dengan Kementerian Pendidikan di Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV) dan diberitahu salah satu alasan kenapa pembayaran mengambil sedikit masa adalah kerana pihak kolej membuat permohonan untuk menukar nama kursus daripada kursus asal seperti terkandung dalam Surat Setuju Terima (SST)," katanya yang juga Pengarah Perundangan di Bandar Malaysia Sdn Bhd.

Sehubungan itu kata Mohd Shuhaimi, mereka bertemu pihak pentadbiran kolej sekali lagi dan kali itu mereka diberitahu oleh pentadbiran kolej bahawa pertukaran nama kursus tidak ada kaitan dengan soal pembayaran tersebut kerana pertukaran nama kursus hanya di peringkat cadangan berdasarkan permohonan kepada Agensi Kelayakan (MQA).

"Penerangan dan maklumat antara dua pihak ini berbeza, maka kami sebagai ibu bapa jadi keliru manakala pelajar-pelajar itu pula tersepit dengan isu penangguhan persekolahan ini," katanya.

Tegas Mohd Shuhaimi, pihak PIBG kecewa dengan penangguhan pengajian pelajar yang terlibat ini.

Katanya, pihak ibu bapa akan bertemu Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik meminta campur tangan beliau untuk cari penyelesaian jika bahagian pentadbiran KPM dan kolej tidak dapat menyelesaikan masalah itu.

Sementara itu, seorang lagi wakil ibu bapa, Yahya Abd Hamid meluahkan rasa kecewa terhadap penangguhan sesi persekolahan yang berlaku itu.

"Sekarang ini ibu bapa cuma tahu melalui media bahawa KPM beri jaminan pengajian pelajar mengikuti program vokasional ini tetap diteruskan sehingga semua pelajar tamat pengajian sepenuhnya,"katanya.

*PENJELASAN PIHAK ADMAL AVIATION COLLEGE SEBENTAR LAGI...