TERNYATA ada sungutan daripada orang ramai mendakwa harga barang masih mahal.

Ini berdasarkan tinjauan Wartawan Sinar Siasat bagi mendengar sendiri sama ada tanggapan itu semata-mata  persepsi atau realiti ditanggung rakyat ketika ini.

Seorang suri rumah Salia Asari, 65,  merungutw kepada Wartawan Sinar Siasat apabila wanita itu merasa pelik kerana harga barangan yang dibelinya di pasar tidak berpatutan dengan jumlah barangan yang dibawa pulang.

“Hari ni saya beli sebiji petola dengan harga RM3. Seingat saya, harga ini (petola) lebih murah jika dibeli di pasar raya.

 “Kemudian saya beli empat biji cili dengan harga RM2. Mahal ni kan sebab empat biji cili RM2? “ wanita berkenaan mengajukan kembali pandangannya kepada Wartawan Sinar Siasat.

Salia percaya, ada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga sayuran sekarang ini untuk mencari untung. Mengapa situasi begini boleh berlaku?

Berkaitan situasi berkenaan Wartawan Sinar Siasat mendapatkan pandangan seorang peniaga sayur, Junaidah Sidin, 60, yang memberitahu, harga sayur-sayuran dihantar oleh pembekal didakwanya  mahal menyebabkan peniaga tidak boleh mengimbangi harga jualan dengan untung.

Memberikan contoh Junaidah berkata, dia menjual sayuran seperti  tomato dengan harga RM4.50 sekilogram, lobak merah (RM4), sawi (RM4), kubis (RM3.50), petola (RM6 sekilogram) dan timun di sebuah pasar di Selangor.

“Misalnya timun dijual oleh pembekal dengan harga lebih RM3 sekilogram, begitu juga  tomato (sama harga).

“Jadi jika saya jual sayuran itu  dengan harga lebih rendah daripada harga pembekal, kami tidak boleh mendapat untung. Kami terpaksa jual mahal kembali kepada pelanggan,” katanya.

Seorang lagi peniaga sayur  Mohamad Helmy Fitri, 23, pula mengakui harga sayur-sayuran di pasar berlaku kenaikan harga adalah berpunca daripada sikap pekebun yang mengambil kesempatan menaikkan harga akibat kekurangan bekalan bagi sayuran kampung.

 “Sebagai contoh saya jual daun kari, kunyit, pucuk paku, ulam-ulaman dan sebagainya,” katanya.

Seorang penjual kuih, Samsuddin Daud pula berkata, dia terpaksa menaikkan harga kuih yang dijualnya antara 40 sen sebiji hingga  60 sen sebiji kerana kos membuat kuih melibatkan  keperluan asas seperti tepung, minyak, gula dan lain-lain dibeli dengan harga mahal.

“Jika harga barangan asas (membuat kuih) itu boleh diturunkan, saya mungkin boleh menurunkan harga jualan kuih saya.

“Saya percaya hal ini (harga barang) berkaitan dengan harga minyak.

“Pada pandangan saya, selagi harga minyak kekal, saya yakin harga barangan tidak akan turun.

“Saya juga minta kerajaan pantau harga barang yang mahal sekarang supaya tidak membebankan rakyat khususnya yang berpendapatan rendah,” katanya.