Lebih 1,000 calon jemaah yang tersekat hasrat mereka untuk menunaikan ibadah haji di Makkah tidak perlu merasa khuatir kerana mereka tidak berdosa.

Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkata, seseorang itu dianggap tidak berdosa jika mereka gagal menunaikan haji akibat tersekat atau terhalang oleh sebab-sebab tertentu meskipun sudah berniat dari awal mahu menunaikan ibadah tersebut.

Jelasnya, mengikut hukum syarak, adalah wajib menunaikan ibadah haji bagi orang-orang berkemampuan kerana ia rukun Islam kelima dan sesiapa berkemampuan serta memiliki  jalan untuk pergi (tunai haji), maka dia wajib pergi.

“Namun jika seseorang itu tidak dapat pergi tunaikan ibadah haji ekoran kuota penuh, dia dikira tidak berdosa meskipun aspek kewangannya mencukupi,”  tambah Harussani sejelas-jelasnya.

Mengaitkan pula dengan situasi serta hasrat calon haji atas tajaan 1MDB yang tidak kesampaian, beliau berkata bahawa jika seseorang itu mempunyai kemampuan untuk melaksanakan ibadat itu, namun masih tiada cara mahupun jalan untuknya pergi ke Makkah bagi melaksanakan ibadat itu, mereka perlu bersabar menunggu peluang tersebut pada masa lain.