KERAJAAN sudah mengumumkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) diputuskan sebagai sifar bermula 1 Jun lalu, namun harga barangan dijangka naik bagi perniagaan pasar raya akibat kenaikan tarif elektrik di samping faktor sedia ada iaitu nilai ringgit merudum dan ekonomi dunia yang menguncup.

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, pasar raya Mydin antara terkesan berikutan faktor kenaikan tarif elektrik dan tidak menafikan harga barang dijangka naik.

“Saya khuatir barang akan naik harga. GST sifar bagus kerana harga barang turun enam peratus dan saya harap ia kekal bagaimanapun harga barangan dijangka meningkat ekoran kenaikan tarif elektrik.

“Sebenarnya langkah kerajaan mahu menaikkan tarif elektrik tidak sesuai buat masa sekarang kerana keadaan ekonomi negara kita. Mydin misalnya terpaksa tanggung kos sebanyak RM4 juta sebulan.

“Berikutan kos tarif elektrik dinaikkan, Mydin mungkin terpaksa menaikkan harga barangan sebanyak 0.2 peratus,” tegas beliau.

Memperjelaskan lagi Ameer berkata, ini kerana kenaikan tarif elektrik itu kini terpaksa dihadapi selain berdepan faktor mata wang ringgit Malaysia lemah berbanding mata wang Amerika Syarikat yang memangkin kenaikan harga barang kerana Malaysia banyak bergantung dengan import barang makanan.

“Saya terus terang, kalau kita tanggung RM4 juta (kos elektrik) dan duit ringgit merosot, saya kena naikkan harga. Tapi saya boleh janji kenaikan harga tidak berlaku secara melampau,” katanya.