JIKA benarlah berlaku diskriminasi terhadap golongan mak nyah, sudah lama komuniti transgender itu tercampak menjalani kehidupan di pulau terpencil bukan selesa di negara ini.

Pengerusi Gerakan Muslimah Islam Malaysia (GMIM), Wan Asshima Kamaruddin berkata, rakyat negara ini tidak mendiskriminasi golongan mak nyah sebaliknya golongan itu yang cuba mendiskriminasi  wanita biasa di negara ini.

"Misalnya apabila golongan itu mendominasi bidang kecantikan, andaman, fesyen dan sebagainya. Mak nyah yang menguasai industri itu menyebabkan wanita lain tidak dapat peluang sewajarnya walhal bidang itu secara fitrahnya perlu dikuasai wanita.

"Jika kita diskriminasi mereka,  takkanlah mereka ada dalam industri itu dan mereka pastinya tiada dalam masyarakat kita, sebaliknya dah tentu berada di pulau-pulau terpencil," katanya.

Menyentuh isu tandas Wan Asshima berkata, golongan wanita tidak mahu berkongsi tandas dengan mak nyah kerana komuniti tersebut  secara fitrahnya tetap lelaki dan ia berkaitan dengan aurta wanita yang terbatas.

"Saya yakin ramai wanita lain tidak selesa dengan kemunculan golongan tersebut.

"Bila ada dalam kalangan mereka  mereka berjuang isu tandas, saya lihat sedikit demi sedikit mereka cuba mencabuli hak wanita, kenapa golongan seperti ini dahulu mereka pergi tandas lelaki sekarang guna tandas wanita?," soalnya.

Katanya, permintaan segelintir mereka yang mahukan tandas berasingan juga tidak wajar diterima kerana ia seolah-olah menyokong permintaan itu sekaligus iktiraf kedudukan mereka dalam masyarakat  majoritinya Islam.

"Mahu atau tidak mereka kena guna tandas lelaki dan mereka kena terima hakikat memilih kehidupan begitu  jika pun dikutuk  lelaki. Berbeza dengan golongan pengkid atau tomboi, mereka tetap masuk tandas perempuan. Ini menunjukkan golongan tersebut sedar  mereka secara fitnahnya  wanita," katanya.

Beliau berkata, golongan mak nyah  perlu ditarbiah supaya insaf.

"Contohnya, Skuad Badar di Sungai Petani, Kedah tarbiah golongan tersebut cuma mereka perlukan satu kawasan untuk menempatkan golongan itu supaya benar-benar insaf dan kembali ke pangkal jalan.

"Dari segi penguatkuasaan juga perlu dan harus. Ini kita kurang sekarang sebab jabatan agama tak cukup kakitangan untuk mengekang masalah berkenaan," katanya.

Katanya, perlu ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu golongan mak nyah  kembali ke pangkal jalan.