Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah banyak membuat operasi untuk membanteras kes ini namun ibarat selesai sehari, esok lusa kes berulang semula. Mengapa?

Puncanya tidak lain tidak bukan sikap tamak segelintir majikan  yang menggaji warga asing sebagai pemandu kenderaan berat semata-mata mahu mengaut untung berlipat ganda kerana faktor gaji yang boleh dibayar murah berbanding menggaji pemandu warga tempatan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Shaharuddin Khalid (gambar) berkata, pihaknya sentiasa memandang serius perkara ini apatah lagi ia melibatkan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

“Ada majikan tidak ambil peduli keselamatan masyarakat. Mereka tamak dan tidak bertanggungjawab.

“Majikan tidak sepatutnya menggaji warga asing sebagai pemandu kenderaan berat atas faktor gaji murah berbanding warga tempatan.

“Apa pun JPJ sentiasa memantau dan melakukan operasi daripada semasa ke semasa untuk membendung perkara ini,” katanya.