SEORANG lagi peserta Program Khas Haji Perdana Menteri di bawah Yayasan 1MDB yang hanya mahu dikenali sebagai Rahman reda menerima keputusan pemberhentian menghantar jemaah haji  bawah yayasan berkenaan seperti dimaklumkan Dr Mahathir, baru- baru ini.

 

Dia  menganggap masih tidak memperoleh rezeki daripada ALLAH SWT untuk melaksanakan rukun Islam kelima itu.

 

“Saya anggap ia bukan rezeki dan saya terimanya dengan reda.

 

“Saya amat berharap peluang itu tiba tidak lama lagi, saya sabar menunggu,” katanya.

 

Pada masa sama, dia masih menaruh harapan program itu diteruskan oleh kerajaan demi kelangsungan umat Islam khususnya yang sudah berusia sepertinya.

 

“Saya doakan program berkenaan diteruskan oleh kerajaan sebagai penghargaan kepada ketua kampung dan imam khususnya yang kurang berkemampuan dari segi kewangan dan fizikal.

 

“Jika diberikan peluang, saya sangat menghargainya kerana  kami sudah berusia. Maka sangat  berharap masih ada peluang untuk menjejakkan kaki ke sana,” katanya yang berusia 50 tahun.