ALTERNATIF untuk mengatasi masalah tanah kubur sesak adalah kubur bertingkat dan pelaksanaannya terbukti berjaya di Masjid Jamiul Badawi, Kepala Batas

Pengerusi Masjid Jamiul Badawi, Shariful Azhar Othman berkata, masjid berkenaan menjadi contoh dan rujukan kepada masjid lain khususnya di Pulau Pinang dalam melaksanakan kubur bertingkat.

“Sehingga hari ini tiada masalah dan ini merupakan satu penyelesaian cukup baik bagi mana-mana masjid atau kawasan tanah perkuburannya terhad.

“Susun atur kubur juga kemas tersusun,  diselenggarakan dengan baik dan paling utama  menimbulkan ketenangan kepada mereka yang menziarahi perkuburan ini, “ katanya memulakan bicara.

Bagaimanapun tanah perkuburan bertingkat itu cuma dijangka mampu menampung kemasukan jenazah dalam jangka masa 10 tahun saja lagi.

“Tempoh 10 tahun adalah tempoh singkat, kalau tidak ada ruang lagi untuk kebumikan jenazah baru, membuat lapisan ketiga mungkin tidak dapat dilaksanakan atas faktor paras tanah sudah terlalu tinggi.

“Jadi kita bersedia mencari tanah perkuburan  baru untuk mengatasi masalah ini,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Masjid Jamiul Badawi, Datuk Arshad Zakaria berkata, selepas tiada lagi ruang kosong dapat digunakan untuk mengebumikan jenazah, satu mesyuarat diadakan pada 11 April 2000 dan keputusan mesyuarat sepakat untuk melaksanakan kubur bertingkat yang mana kerja-kerja penambakan kawasan perkuburan bermula awal November 2001. 

Masjid berkenaan adalah masjid pertama di Pulau Pinang  melaksanakan kubur bertingkat dan pastinya ia bukan suatu yang mudah kerana sebelum kerja penambakan dijalankan,  tembok konkrit setinggi tiga setengah kaki perlu didirikan di sekeliling kawasan kubur.

“Struktur tembok dibina untuk jamin tambak dibina itu kukuh. Kemudian batu-batu nisan sedia ada dipindahkan secara berperingkat mengikut kawasan ditambak, dan jenis tanah merah digunakan adalah tanah jenis topsoil.

“Bagi menjamin batu-batu nisan yang diubah dapat diletak balik ke tempat asalnya, sistem pancang digunakan,”katanya.

Sementara itu, pelaksanaan kubur bertingkat juga perlu beradab supaya  kawasan perkuburan dan sekitarnya tidak terjejas termasuk ketika kerja-kerja menambun tanah.

Arshad berkata antaranya, papan tanda pemakluman mengenai kerja penambakan diletakkan berhampiran simpang jalan, termasuk lori mengangkut tanah, perlu ditutup  kanvas bagi memastikan tanah tidak jatuh atas jalan.

“Kerja-kerja penambunan tanah di kawasan perkuburan ini tidak dibenarkan dijalankan ketika hujan lebat, kerana dibimbangi berlaku banjir lumpur,” kata Arshad menceritakan pengalamannya berhubung proses membuat kubur bertingkat.

Menceritakan lebih lanjut kata Arshad, mereka yang melakukan kerja itu mesti menutup aurat, tertib dan menghormati jenazah serta semua kerja mestilah dihentikan serta merta apabila azan dilaungkan, sehingga solat jemaah selesai.

“Batu nisan sedia ada tidak dibenarkan diubah dari tempat asalnya, kecuali ia mengikut syarat ditetapkan bagi mencabut batu nisan dengan menggunakan kayu penanda aras,” katanya.

Tambahnya, penggunaan jentera berat di atas tanah perkuburan tidak dibenarkan dan  tanah cuma dibawa menggunakan kereta sorong.

Apapun, perkuburan bertingkat ini membanggakan anak kariah Masjid Jamiul Badawi.

Othman A. Majid,65, berkata kubur bertingkat masjid ini mendapat rujukan daripada pelbagai pihak setelah ia siap.

Jelas pelaksanaan konsep kubur bertingkat di Masjid Jamiul Badawi boleh menjadi penanda aras  bahawa isu syariah berkaitan hukum pembinaan kubur  bertingkat berjaya dirungkai dan semua pihak dapat menerimanya memandangkan wujud desakan untuk mengatasi masalah keluasan tapak tanah perkuburan yang sesak seperti di Kepala Batas ini.

Namun nampaknya, suatu alternatif lagi perlu difikirkan mengenai jangka hayat tanah perkuburan ini.