BAGI mengatasi masalah tanah kubur yang semakin sempit, Caretaker Unit Kubur Jais Abdl Malek Ghazali menjelaskan, kubur bertingkat bukan seperti pembinaan parkir kereta bertingkat.

Menurutnya, kubur bertingkat ialah proses menambak lapisan kedua untuk jenazah generasi baharu.

Oleh itu katanya, kerja-kerja susunan kedudukan setiap kubur mula dibuat bermula lebih 10 tahun lalu dengan memperkenalkan kubur boleh alih patuh syariah.

"Itu sebab setiap kepungan kubur dibina hari ini tidak bersifat kekal untuk memudahkan ia diangkat dan dialihkan pada masa depan.

Dulu saiz kepungan 3 kaki x 6 kaki tetapi ada waris buat lebih besar menyebabkan ruangan satu kubur jadi besar. Ciri pembinaan kepungan perlu diikut waris si mati.

”Jadi kita tetapkan kepungan tidak boleh lebih 3  kaki x 6 kaki, cuma sekitar 28 x 72 (inci) yang mana ruangan itu cukup untuk jenazah sahaja,” katanya.

Tegas Abd Malek, tujuannya adalah untuk memudahkan proses pada masa depan kerana sebelum ini kebanyakan jenazah dikebumikan secara tidak tersusun.

Katanya, ramai waris yang membina kepungan bersifat kekal bagi kubur keluarga masing-masing.

"Justeru kepungan boleh dialih itu adalah persediaan untuk memudahkan proses pelaksanaan kubur bertingkat pada masa depan jika tanah kubur sedia ada penuh," katanya.

Menerangkan secara lanjut Abd Malek berkata, Jais menetapkan kubur patuh syariah perlu menghadap kiblat, mengikut konsep saf kubur seperti saf di masjid termasuk menetapkan ciri kepungan boleh dialih itu.

Untuk peringkat itu, tahap profesional penggali kubur dikemas kini dan dipertingkatkan supaya pelaksanaan berjalan lancar kerana ia untuk kemudahan  masa depan.

Tambahnya, seni bina, landskap serta susun atur kubur penting untuk dilakukan bermula dari sekarang bagi memudahkan pelaksanaan alternatif termasuk kubur bertingkat.