Kementerian Pendidikan memberi jaminan pengajian pelajar yang mengikuti program vokasional (Diploma in Aviation, Ground Handling - Ramp Services) di kolej berkenaan tetap diteruskan sehingga semua pelajar tamat pengajian sepenuhnya.

Menerusi kenyataan itu kementerian berkata, usaha sedang dijalankan bagi menyelesaikan masalah yang timbul sehingga menyebabkan cuti pertengahan semester sesi dua tahun ini bagi pelajar program itu yang sepatutnya berakhir pada 2 September lalu dilanjutkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

"Usaha sedang dilaksanakan bagi menyelesaikan permasalahan terbabit dengan mengambil langkah perlu iaitu melalui perbincangan semula dengan syarikat yang dilantik melaksanakan program itu, Admal Education Sdn Bhd bagi menyelesaikan masalah yang dibangkitkan.

"Penyelarasan semula takwim pengajian akan dibuat selepas pelajar kembali meneruskan pengajian dan jadual pengajian akan disusun semula bagi memastikan pelajar tidak terbeban," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Jumaat, lalu.

Kementerian Pendidikan berkata, pihaknya menerima aduan daripada pelajar dan ibu bapa berhubung pemakluman pelanjutan cuti pertengahan semester berkenaan daripada syarikat pengendali program pada 2 September lalu.

Katanya, perkara itu disebabkan permohonan pihak syarikat untuk menukar nama kursus sebanyak dua kali daripada kursus asal seperti terkandung dalam Surat Setuju Terima (SST), yang menyebabkan urusan semakan terma kontrak terbabit melebihi tempoh masa iaitu sehingga mencapai enam bulan.

Berdasarkan surat berkenaan, ibu bapa menyuarakan kebimbangan bahawa masalah yang difahamkan membabitkan hampir 200 pelajar itu akan menyebabkan jadual pengajian pelajar itu terganggu terutama mereka perlu menduduki peperiksaan bermula pertengahan bulan depan.

Kementerian Pendidikan berkata, pihaknya dan Kementerian Kewangan juga sudah bersetuju untuk menyambung perkhidmatan kepada syarikat terbabit bagi baki tempoh pengajian pelajar sehingga 2021.