ADALAH  tidak wajar jika industri menggunakan alasan penyelarasan surcaj kos tak berimbang (ICPT) untuk menaikkan harga barangan dan perkhidmatan.

Penganalisis Ekonomi Mohd Yusof Saari berkata, apatah lagi dengan tiada cukai sehingga September depan maka tindakan industri menaikkan harga sepatutnya tidak berlaku.

“Analisis mendapati pelarasan ICPT dijangka memberi kesan minimum kepada kos pengeluaran industri. Ini bersandarkan kepada data bahawa kos penggunaan elektrik oleh industri adalah rendah.

“Misalnya bagi industri pembuatan, kos penggunaan elektrik hanya menyumbang sekitar 1.5 peratus daripada keseluruhan kos bahan mentah.

"Bagi industri pembuatan makanan pula, kos penggunaan elektrik hanya menyumbang sekitar 0.8 peratus daripada keseluruhan kos bahan mentah,’ katanya.

Pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu bagaimanapun berkata, terdapat faktor-faktor lain selain cukai barang dan perkhidmatan (GST)  dan kos elektrik yang boleh mempengaruhi pergerakan harga dalam pasaran.

“Antara faktor utama perlu ditangani secara serius adalah kejatuhan nilai ringgit yang menyebabkan kos import bahan mentah menjadi lebih mahal. Faktor ini mempengaruhi sama ada secara langsung atau tak langsung kepada kos pengeluaran keseluruhan industri di Malaysia.

Bagi firma penjana elektrik, arang batu yang digunakan sebagai bahan utama adalah diimport. Kejatuhan nilai ringgit menyebabkan kos import menjadi mahal dan seterusnya meningkatkan kos pengeluaran penjanaan elektrik. Ini menyumbang kepada keputusan kerajaan membuat penyelarasan ICPT,” jelasnya.

Terdahulu, kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga (ST)  memutuskan untuk melepaskan kos peningkatan 1.35 sen/kWj dalam bentuk surcaj “kos tak berimbang” kepada semua pengguna bukan domestik di Semenanjung Malaysia bagi tempoh 1 Julai sehingga 31 Disember tahun ini.

Bagi pengguna domestik dengan penggunaan elektrik tidak melebihi 300 kWj, pelarasan ICPT ini dijangka tidak memberi kesan kepada mereka.

Bagaimanapun wujud gesaan untuk kerajaan mengkaji semula keputusan pelarasan ICPT kerana bimbang pihak industri mengambil peluang menaikkan harga atau tidak menurunkan harga walaupun dalam tempoh cukai GST berkadar sifar.