KERAJAAN memberi jaminan bahawa masalah peneroka Felda akan diselesaikan  termasuk  isu serangan ulat bungkus yang menyebabkan pendapatan peneroka terjejas.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, proses bancian konsisten akan segera dilakukan  untuk mengatasi serangan ulat bungkus di beberapa kawasan Felda supaya tidak terus merebak ke kawasan lebih luas.

"Masalah serangan ulat  bungkus serius bukan sahaja di Felda Gugusan Besout dan Felda Gugusan Kerteh, malah di kawasan-kawasan Felda lain dengan melibatkan keluasan ladang sudah mencecah 30,000 hektar.

"Felda Agricultural Services Sdn Bhd (FASSB) mempunyai kepakaran dalam bidang pengurusan ulat bungkus, membantu memberikan latihan, menjalankan bancian dan nasihat teknikal kepada petugas dan peneroka. Proses pencegahan awal penting dalam memastikan keadaan terkawal.

"Kawasan penempatan ladang Felda bersebelahan dan berpusat termasuk dengan ladang komersil serta ladang pekebun kecil persendirian. Ini memudahkan perebakan serangan ulat bungkus. Oleh itu, sistem kawalan serangan ulat bungkus dilaksanakan secara holistik," katanya.

Menurutnya, serangan berulang ulat bungkus terjadi apabila sesetengah kawasan tidak melaksanakan sistem kawalan secara serentak.

Justeru untuk mengatasinya secara menyeluruh, kerjasama antara semua agensi kerajaan seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Jabatan Pertanian dan Syarikat Ladang Komersial, penting dalam menjayakan usaha tersebut, selain dengan penubuhan Jawatankuasa Pengawalan dan Pemantauan Serangan Ulat Bungkus diterajui Kementerian Industri Utama.

Dalam pada itu Mohammed Azmin berkata,  kerajaan meneliti isu bebanan  peneroka Felda untuk mencari penyelesaian terbaik.

"Kerajaan pada hari ini mendapati Felda sedang menghadapi masalah aliran tunai amat kritikal. Harga minyak sawit mentah (CPO) yang rendah menambahkan lagi kesan kepada kedudukan aliran tunai Felda.

"Pelan pemulihan kedudukan aliran tunai Felda merupakan salah satu pelan jangka panjang sedang diberikan tumpuan oleh Lembaga Pengarah dan Pengurusan Felda. Perkara ini telahpun dimulakan dengan mengadakan perjumpaan bersama beberapa institusi kewangan untuk menstrukturkan semula pinjaman Felda.

"Selain itu, Felda sedang dalam rangka untuk melihat keperluan menjual aset-aset bukan strategik. Proses ini akan dibuat secara terbuka supaya Felda mendapat pulangan nilai terbaik melalui penjualan aset-aset ini. Kaedah ini dapat menambahbaik aliran tunai agar Felda dapat melaksanakan komitmen kepada 112,635 peneroka," katanya ketika sesi penggulungan di Parlimen.

Selain itu katanya, Felda meneruskan Dasar Pendapatan Minima Peneroka  iaitu RM1,000 sebulan ekoran pendapatan peneroka yang rendah akibat kejatuhan harga sawit.