TIDAK dinafikan golongan transgender atau mak nyah mempunyai hak mereka di negara ini dan diakui tidak pernah berlaku diskriminasi terhadap mereka.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata, mereka golongan minoriti soal hak manusiawi mereka sebagai rakyat yang perlu diberi hak sebagai rakyat.

"Contohnya hak bersuara, berekspresi dan sebagainya, itu terpulanglah.

"Namun bila sampai tingkah laku mereka yang agama sendiri tak boleh terima dan bercanggah dengan nilai-nilai yang ada di negara kita maka benda itu tak boleh kita terima," katanya.

Menurutnya, soal kerja pula berapa ramai mak nyah bekerja termasuk di pasaraya dan pusat-pusat perniagaan terkenal.

"Saya dapati banyak dari kalangan mereka bekerja di situ, orang yang hendak bagi kerja kepada golongan itu dia berhak letak syarat-syaratnya.

"Kenapa kita boleh letak syarat contohnya, antara orang yang A ini lebih dari orang yang kurang A?," katanya.

Perkara yang menjadi isu sekarang, katanya, apabila karakter mak nyah yang  mempromosikan idealisme dan pergerakan untuk memaknyahkan orang lain?

"Untuk menormalisasikan mak nyah dalam masyarakat tak bolehlah, mana boleh kita terima.

"Soal dia nak kerja, kerja sahaja di mana-mana dia boleh kerja pun. Isu sekarang adalah usaha-usaha untuk menormalisasikan kepondanan dalam kita punya ruang lingkup masyarakat," katanya.

Beliau berkata, perkara itu telah lama berlaku di negara kita.

"Apa yang menjadi satu perdebatan besar sangat berkenaan isu ini? sampai nak bincang tandas, sampai kena selak kain nak tengok walaupun ia sebagai gurauan dan sarkastik.

"Tak payah la, buang masa nanti sebab banyak benda lain kita nak kena buat dan fikir," katanya.

Pada masa sama, Fathul Bari berkata, pihaknya pelik apabila semua benda hendak dipolitikkan.

"Cuma pandangan saya kita kena lebih berhati-hati apabila berbicara soal benda-benda yang melibatkan sensitiviti, agama, dan golongan minoriti serta majoriti.

"Bagi saya benda lebih besar yang kita kena fikirkan adalah mentarbiah mereka dan menasihati mereka agar berubah," katanya.

Beliau mempersoalkan mana boleh berbincang tentang cara hendak membantu atau mendorong mereka mengekalkan kemaknyahan mereka.

"Menjadi satu kesalahan jika kita nak bantu contohnya pelacuran dengan beri hak mereka melacur.

"Sebaliknya kita kena fikir cara bantu mereka nak ubah dari pelacuran kepada perkara lebih baik untuk memulakan kehidupan mereka," katanya.

Berkenaan pembahagian tanah secara faraid bagi keluarga mak nyah pula, Fathul Bari berkata, secara mudahnya untuk lelaki ia akan peroleh dua bahagian manakala wanita pula satu bahagian.

"Maknanya bila seseorang sudah menukar jantina, secara logik akal, dia tak nak yang dua bahagian sebaliknya dia nak yang satu bahagian.

"Secara syaraknya, ikut mana pun dia tetap lelaki, Allah telah tetapkan dia atas fitrah dia sebagai lelaki. Ini saya cakap dari sudut yang tukar jantina bukan yang khunsa atau memiliki dua kemaluan," katanya.

Menurutnya, bagi yang menukar jantina apa hukum Islam sekalipun dia tetap lelaki.

"Logiknya dia tak menafikan hak dia dua bahagian tetapi tetap nak satu bahagian, pada pandangan saya ia tak cerdik," katanya.