SEORANG  pengamal media berkongi perasaan bahagia dan gembiranya setelah berkesempatan menunaikan ibadah Haji di Tanah Suci Makkah sebagai peserta Program Khas Haji Perdana Menteri di bawah Yayasan 1MDB, kira-kira dua tahun lalu

Mohd Shah Che Ahmad berkata, dia begitu bersyukur kerana terpilih menjadi tetamu ALLAH untuk menunaikan ibadah haji di Makkah apatah lagi dengan mengikuti tajaan kerajaan.

Kata Mohd Shah, ini kerana jika diikutkan senarai giliran pendaftaran dengan Tabung Haji, dia cuma berpeluang melaksanakan ibadah berkenaan pada 2048 yang pastinya sukar dijangka keadaan diri pada masa tersebut.

“Justeru saya beranggapan tajaan Yayasan 1MDB adalah salah satu jalan membuatkan saya terpilih untuk menjadi tetamu ALLAH sekali gus rasa bertuah kerana berpeluang melaksanakan rukun Islam kelima itu tanpa sebarang bayaran,” katanya memulakan bicara.

 Tambahnya, sebagai pengamal media, dia banyak mendapat maklumat situasi jemaah haji di Makkah menerusi laporan media namun selepas berpeluang ke sana, Mohd Shah kini menyimpan kenangan yang pastinya terpahat dalam ingatan buat selamanya kerana kebetulan berlaku tragedi sebuah kren tumbang dalam kejadian ribut pasir dan hujan lebat di Masjidilharam, dua minggu selepas umat Islam mula menunaikan ibadah haji yang mengorbankan lebih 100 jemaah terkorban nyawa.